KLANG - Gara-gara berebut dadah seorang penagih maut ditikam di dada dan mayatnya ditemui di kawasan semak berdekatan pencawang Telekom, Pelabuhan Klang, pagi semalam.

Lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditemui mati dalam keadaan terbaring oleh seorang kakitangan Telekom sekitar jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, Unit Forensik dan K9 telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut mendapati terdapat kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa bagaimanapun tiada sebarang senjata dijumpai di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa yang lengkap berpakaian serta mempunyai dokumen diri itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat," katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, proses bedah siasat selesai jam 11.30 pagi hari ini dan punca kematian adalah kesan tikaman oleh senjata tajam tepat ke jantung.

"Semakan ke atas mangsa juga mendapati terdapat enam rekod jenayah lampau berkaitan kes 324KK (1998), 325KK (1989), POC 4(a)(1) (2001), 39(b) ADB (2005), 302KK (2000) dan 39(a) ADB (2002)," katanya.

Susulan kejadian itu, Shamsul Amar berkata, polis memberkas dua lelaki berusia 40 dan 57 tahun bagi membantu siasatan.

"Polis turut merampas beg tangan, pisau dan gunting serta telefon bimbit daripada kedua-duanya.

"Polis tidak menolak kemungkinan berlaku perebutan dadah sehingga mendorong pergaduhan ketika masing-masing dalam keadaan khayal kesan pengambilan bahan terlarang itu," katanya.

Katanya lagi, kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 KK kerana membunuh.