KUALA LUMPUR - Sekumpulan jurufoto media bersama pihak polis berjaya menahan tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kes samun seorang jurufoto sebuah portal berita di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Menurut seorang lagi jurufoto portal berkenaan berusia lingkungan 30-an yang enggan dinyatakan  namanya, beliau bersama sembilan rakan jurufoto lain berjanji untuk bertemu dengan suspek selepas menemui barangan yang disamun daripada mangsa diiklankan di sebuah portal jual beli malam tadi.

“Kami berpura-pura ingin membeli barangan berkenaan dan berjanji untuk bertemu suspek berhampiran stesen minyak di Bukit Dukung, Kajang pada kira-kira pukul 4 petang tadi dan memaklumkan kepada polis yang kemudian telah menahan ketiga-tiga suspek termasuk seorang lelaki yang dipercayai menyamun mangsa pada Ahad lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata barangan yang diiklankan di laman portal jual beli atas talian itu termasuk peralatan seperti kamera, lens, flash kamera dan beg kamera milik jurugambar berkenaan.

Dalam kejadian samun bersenjata kira-kira 2.30 petang di Lebuh Silikon, Serdang pada Ahad lepas, Jurufoto Malaysia Gazette Muhammad Affan Fauzi, 21, kerugian lebih RM25,000 semasa dalam perjalanan dari Sepang ke Ampang dengan menaiki motosikal selepas pulang daripada tugasan.

Seorang daripada suspek yang berusia lingkungan 30-an yang sebelum itu kononnya  hendak  membantu menunda motosikal mangsa yang kehabisan minyak, tiba-tiba mengacukan parang kepada Muhammad Affan.

Suspek lalu melarikan set badan kamera SLR Nikon D800, lensa telefoto dan lensa standard kamera, ‘speedlite’ milik majikan, telefon bimbit, serta beg mengandungi komputer riba serta dompet.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai penangkapan itu.

“Bertindak atas maklumat dari pengadu dan orang awam, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang telah menahan tiga suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Mengulas kes berkenaan, Persatuan Jurufoto Media Profesional Malaysia (MPPA) berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakan jurufoto media yang membolehkan suspek kes tersebut diberkas.

Presiden MPPA , Mohd Naim Firdaus Abdul Aziz berkata kerjasama antara pihak polis dan rakan jurufoto dalam memberkas suspek tidak sampai tempoh 72 jam kes ini dilaporkan mendapat maklum balas yang segera. - Bernama