SABAK BERNAM - Kementerian Kerja Raya digesa memantau kerja-kerja naik taraf Jalan Persekutuan 5 (FR5) yang tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan terutamanya pada waktu malam.

Seorang penduduk, Azman Zainal Abidin, 51, berkata, terdapat banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku sejak pembinaan jalan berkenaan dilaksanakan.

Menurutnya, keadaan itu berpunca disebabkan ketiadaan lampu kerlipan dan lampu pembinaan yang secukupnya.

“Saya difahamkan, banyak laporan kes kemalangan berlaku di sepanjang jalan pembinaan ini dari Sabak Bernam menghala ke Tanjong Karang.

“Pihak kementerian berkaitan diharap pantau projek ini. Kita tak naklah kemalangan berlaku bukan disebabkan kecuaian tetapi masalah teknikal,” katanya.

Seorang pengguna jalan raya, Roslan Sidek, 51, berkata, jalan FR5 bukan saja gelap pada waktu malam, malah struktur jalan raya itu juga banyak berlubang dan mengalami kerosakan teruk.

“Kalau penunggang motosikal mereka mungkin boleh terjatuh jika gagal kawal kenderaan. Saya yang memandu pun banyak kali terlanggar lubang, malah banyak duit terpaksa dikeluarkan sebab terpaksa selenggara kereta,” katanya.

Pemandu kereta sewa, Wahab Zakaria, 54, berkata, tindakan segera perlu diambil kerajaan bagi menangani masalah berkenaan.

Katanya, seorang anak rakannya yang menunggang motosikal meninggal dunia apabila terjatuh ketika melalui jalan itu pada waktu malam.

“Saya sendiri pun kalau hantar penumpang waktu malam kena pandu hati-hati. Kerajaan perlu pantau projek ini sebab ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad mendakwa kerja perlaksanaan projek Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dari Sungai Besar ke Tanjong Karang berbahaya kepada pengguna.

Beliau memuat naik status di akaun Facebook beliau menegur kerajaan persekutuan agar ambil tindakan sewajarnya terhadap keselamatan pengguna jalan raya.