• Masalah anjing liar semakin serius Setiap malam sekitar jam 11 malam anjing akan keluar menyelongkar sampah.
1 /

RAWANG - Penduduk Taman Tun Teja yang 80 peratus daripada beragama Islam berasa semakin tidak selesa dengan kehadiran anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan dan surau di situ.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Blok Kenanga, Mohd Zaki Nawi berkata, masalah itu semakin serius apabila hampir setiap malam, haiwan terbabit berkeliaran secara berkumpulan dan menyelongkar tong sampah.

Malah parkir motosikal di bawah blok turut dijadikan tempat tidur oleh haiwan terbabit.

Mohd Zaki berkata, tindakan segelintir individu yang menyediakan makanan kepada anjing-anjing itu juga menggalakkan haiwan berkenaan suka berkeliaran sekitar kawasan perumahan sehingga ke tingkat dua dan tiga untuk mencari  makanan.

“Setakat ini memang tidak memembahayakan kerana tidak menyerang tetapi jika berterusan, keselamatan kanak-kanak yang sedang bermain setiap petang di taman permainan atau sedang berjalan kaki untuk ke sekolah boleh terancam sekiranya tiada pengawasan orang dewasa.

“Kita juga minta pihak bertanggungjawab menjaga kebersihan supaya meningkatkan tahap kualiti melalui kekerapan kutipan sampah mengikut jadual ditetapkan iaitu tiga kali seminggu bukan seminggu sekali,” katanya sewaktu di temui Sinar Harian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Fadli Abd Wahab berkata, Ahli Majlis kawasan dilantik kurang memainkan peranan apabila beberapa surat aduan dihantar ke pejabatnya tidak mendapat balasan dan tiada sebarang  tindakan diambil.

“Kita mohon Ahli Majlis turun padang melihat masalah kami dan mahu tahap kebersihan ditingkatkan kerana sebelum ini kami mengeluarkan kos sendiri untuk menyediakan tong sampah tambahan sebagai langkah mengelakkan  sampah bersepah ekoran jadual kutipan sampah tidak dipatuhi.

“Walaupun anjing tidak menyerang dan mengganggu keselamatan kami, namun keadaan kurang selesa tetap ada apabila kawasan surau beberapa kali diceroboh oleh haiwan itu selain najisnya bertaburan merata-rata,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).