KUALA LUMPUR - Sebuah sekretariat untuk bangunkan rangka standard Program Diploma Perubatan Melayu (DPM) ditubuhkan oleh Universiti Malaya (UM) bagi meningkatkan martabat perubatan Melayu di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Sosio-Budaya/Keseniaan Melayu Akademi Pengajian Melayu UM, Zamree Abu Hassan berkata, sekretariat dipengerusikan oleh Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Profesor Dr Puteri Roslina Abdul Wahid, turut dianggotai Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera) terdiri daripada enam wakil dilantik Ahli Jawatankuasa Pembangunan Standard Program DPM.

Menurutnya, ia terdiri daripada Yang Dipertua Gapera, Mohd Adzhar Abd Latif, Dr Amir Shahmi Md Ali, Datuk Seri Baharudin Abu, Saripah Noor Nordin, Nor Aseken Rosley dan Zafir Lembang juga termasuk Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), diwakili Dekan Fakulti Perubatan Tradisional dan Komplementari Profesor Dr Ibrahim Usman Mhaisker.

“Rangka DPM itu kini sedang dalam proses disiapkan dan dikemukakan untuk mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk diguna pakai di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara,” katanya.

Menurutnya, langkah berkenaan sebagai satu titik tolak ke arah menjadikan negara ini berpotensi sebagai hub perubatan Melayu di peringkat antarabangsa.

“Amalan perubatan Melayu yang sebelum ini dilihat tidak setaraf dengan perubatan moden, kini setanding dengan perubatan moden kerana perubatan Melayu sudah bertapak lebih awal dan beri manfaat sejak sekian lama,” katanya.