KUALA LUMPUR – Mangsa jenayah peras ugut menggunakan taktik "push-pocket, yang dikatakan didalangi sindiket khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang sering tular di media sosial,  diminta  tampil membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Baharuddin Mat Taib berkata polis memandang  berat  amaran yang ditularkan di media sosial berhubung jenayah itu dan sewajarnya mangsa tampil membuat  laporan jika benar ia pernah berlaku kepada mereka.

“Namun setakat ini polis tidak pernah menerima sebarang aduan dan laporan mengenai kejadian ‘push-pocket’ setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut mesej yang tular itu, modus operandi push-pocket ini adalah memasukkan barang berharga seperti telefon bimbit atau dompet ke dalam poket mangsa, kebiasaannya melibatkan warga asing, yang baru tiba di KLIA dan stesen LRT  atau di kawasan yang sesak.

Dikatakan pemeras ugut ini kemudian bersama seorang 'saksi' akan mendekati mangsa dan menuduhnya mencuri barang miliknya sambil membuat kecoh.

Suspek seterusnya membuat tawaran kepada mangsa untuk membayar sejumlah wang bagi menutup kes itu atau berdepan pihak berkuasa, dan dalam keadaan itu mangsa yang terdesak dilaporkan bersetuju membuat bayaran yang diminta.

Laporan tular itu juga memberi amaran, kebiasaannya, jika berlaku di lapangan terbang,  suspek selalunya sengaja meletakkan barang milik mereka ke dalam troli bagasi mangsa tanpa disedari.

Semakan Bernama mendapati amaran berkaitan jenayah push-pocket itu mula tersebar di internet sejak tahun 2009 yang didakwa dikeluarkan sebuah firma guaman, dan baru-baru ini amaran yang sama tular kembali hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Pada Julai tahun lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditanya berhubung kes itu turut meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan.

Khalid berkara jika ada sesiapa menghadapi situasi itu sewajarnya mangsa tidak takut, sebaliknya membiarkan pemeras ugut itu mengadu kepada polis dan ikut sama ke balai polis untuk membuat laporan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Seorang penyelia di sebuah pasar raya cawangan Gong Badak, Kuala Nerus, terpaksa menanggung kerugian hampir RM5,000 akibat ditipu individu menyamar anggota polis dipercaya sindiket penipuan ‘Macau Scam’.
  • SIBU - Seorang pemuda menerima padah selepas bertindak agresif terhadap anggota polis di Taman Rejang pada jam 9.20 malam tadi.
  • KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya menyelesaikan hampir 65 peratus kes jenayah yang disiasat, menjadikannya antara peratusan tertinggi di negara ini sepanjang tahun 2017.
  • SUNGAI PETANI - Dua pengawal keselamatan mengalami kecederaan setelah diserang sekumpulan lelaki bermotosikal di hadapan sebuah perpustakaan di Jalan Kolam Air dekat sini awal pagi semalam.
  • GUA MUSANG - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tipu helah mana-mana syarikat pinjaman berlesen untuk mendapatkan pinjaman wang.