YAN - Majlis Agama Islam negeri-negeri diminta memperkemaskan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal dan menyekat ajaran Syiah yang dikatakan mula bertapak di negara ini terutama di Kedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penguatkuasaan terhadap ajaran-ajaran yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah ini perlu diberi tumpuan dan dipandang serius kerana ia boleh merosakkan akidah umat Islam dan mewujudkan perpecahan.

"Bukan sahaja ajaran Syiah malah ajaran-ajaran yang dianggap sesat dan telah difatwakan kerajaan negeri harus dikuatkuasakan sebaik mungkin dengan menggunakan peruntukan yang sedia ada di majlis agama Islam negeri," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kenduri Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini hari ini.

Beliau berkata hal-hal berkaitan ajaran Syiah dan ajaran sesat ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui majlis agama Islam negeri-negeri dan bukannya di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Soal ajaran yang bercanggah dengan ajaran Islam yang terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah harus dititikberatkan.

Saya mengharapkan majlis agama Islam dan juga kerajaan negeri Kedah melihat untuk memperkemaskan penguatkuasaan terhadap ajaran-ajaran sesat yang telahpun digazetkan salah dan harus diberikan penekanan supaya ia tidak berkembang dan menular.

Jamil Khir berkata walaupun urusan agama terletak di bawah negeri-negeri, Jakim sentiasa memantau masalah ini dan berharap orang ramai yang mengetahui kegiatan ini segera mengadu kepada pihak berkuasa majlis agama Islam negeri untuk tindakan segera. - Bernama