AMPANG - Kerajaan Negeri Selangor berhasrat memperkasakan industri kebudayaan dan kesenian yang bakal menjadi antara tumpuan dalam bajet kerajaan negeri 2019.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau melihat aspek berkenaan berpotensi diangkat sebagai satu daya tarikan yang boleh diwujudkan di bandar-bandar di negeri ini.

Menurutnya, usaha tersebut juga bukan perkara baharu kerana dua tahun sebelum ini pelbagai aktiviti telah digerakkan menerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan.

"Kita menggalakkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menganjurkan aktiviti di bandar tersebut agar ia juga dikenali sebagai kota budaya.

"Jadi untuk tahun depan juga kita akan fokuskan sikit aktiviti bawah teater Shah Slam. Saya dah bincang dengan beberapa pihak, kemungkinan saya akan umumkan dalam bajet tetapi pada waktu ini, contoh di Petaling Jaya, akan buat teater dan tarian... semua inilah yang akan gerakkan aktiviti budaya," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tayangan Amal Munafik 2 di sini, hari ini.

Tambah beliau, meskipun padat dengan pelbagai aktiviti perniagaan dan sebagainya, Selangor wajar menjadikan bandar Toronto di Kanada sebagai model dalam usaha mewujudkan bandar sebagai kota seni.

"Jika kita lihat di Toronto, walaupun ia adalah satu bandar yang penuh dengan aktiviti perniagaan dan sebagainya, tetapi di sana juga banyak teater-teater hebat yang dipentaskan.

"Itu yang saya mahu buat di kota-kota perniagan di Selangor agar dikenali juga dengan kegiatan seninya. Memang dari segi infrastrukturnya tidak cukup, tetapi kita perlahan-lahan akan sediakan dan tingkatkan aset-aset kebudayaan dan kesenian," katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Pelancaran Buku 'Rahsia Aura Wanita' sempena majlis tayangan amal yang dianjurkan Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Selangor dengan kerjasama Pertubuhan Wanita Elit.

Tayangan amal itu bertujuan mencari dana bagi mengisi tabung dalam usaha membantu dan meneruskan kegiatan amal kebajikan kepada anak yatim, daif dan termiskin, anak-anak mualaf, orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan dan lain-lain badan/pertubuhan serta golongan yang memerlukan.