HULU SELANGOR - Penduduk meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan bagi merealisasikan hasrat mempunyai universiti awam di daerah ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 lalu.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui berkata, kerajaan proaktif merangka pelan pendidikan yang menjadi elemen penting bagi memastikan masa depan rakyat negara ini berpendidikan tinggi.

Menurutnya, keluasan Hulu Selangor hampir sama dengan negeri Melaka dan daerah terbesar daripada sembilan daerah di negeri ini.

"Maka amat tinggi harapan rakyat jika dapat diwujudkan sebuah universiti awam di daerah ini.

"Hulu Selangor bersempadan dengan Perak dan Pahang serta kedudukannya di kawasan luar bandar adalah sangat strategik untuk  pembinaan universiti awam.

"Ini antara perkara yang terdapat dalam manifesto saya ketika PRU14 untuk kepentingan pendidikan generasi muda dan akan datang," katanya.

June Leow berkata, pembinaan pusat pengajian tinggi itu akan turut membantu ibu bapa mengurangkan kos perbelanjaan bagi menghantar anak ke institut pendidikan tinggi di luar daerah.

Katanya, kemudahan tersebut akan menjadi pemangkin kepada kepelbagaian pembangunan ekonomi penduduk setempat.