KUALA LUMPUR - Kehadiran bekas perdana menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah restoran di Bangsar, hari ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau bakal bertanding di kawasan itu.

Kemunculan mengejut beliau disambut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang turut berada di restoran berkenaan.

Pengerusi Bersatu itu bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu turut disambut puluhan masyarakat pelbagai kaum.

Memetik laporan laman portal berita, Zaid berkata, Mahathir menghabiskan masa bersama isterinya dan bersarapan pagi di situ.

“Beliau habiskan masa lebih kurang sejam. Saya sudah sampai awal. Suasana meriah, ramai yang salam (Dr Mahathir),” katanya dipetik berkata.

Zaid dalam pada itu turut berkata, Mahathir berpotensi untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai.

“Saya ingat dia (Dr Mahathir) akan bertanding di sini. Yalah, Lembah Pantai ada banyak campuran pengundi Melayu. Ia mudah untuk dia tetapi itu pandangan peribadi saya.

“Saya rasa ia idea yang bagus untuk pertimbang,” kata dipetik berkata dalam laman portal itu lagi.

Dalam pada itu calon untuk kerusi Lembah Pantai kini masih menjadi teka teki kerana penyandangnya, Nurul Izzah Anwar dijangka beralih ke kerusi Parlimen Pandan menggantikan Rafizi Ramli.

Nurul Izzah sebelum ini dilapor tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak pilihan raya umum pada 2008.

Beliau sebaliknya dijangka memberi laluan kepada Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil untuk bertanding di kerusi itu pada PRU14.

Dalam pada itu penyelia restoran, Richard, turut berkongsi cerita mengenai kemeriahan di restorannya semasa kunjungan Mahathir.

“Dr Mahathir dan isteri makan tose. Dr Mahathir minum kopi Madras dari India. Banyak orang datang hendak tengok dia. Selfie pun ada. Dia bayar (bil) di kaunter sendiri.

“Dia cakap tak payah diskaun,” beliau dipetik berkata dalam laman portal itu.