KUALA LANGAT - Pemandu yang menggunakan Lebuhraya SKVE hari ini dikejutkan dengan kehadiran sebuah lori yang dipandu melawan arus di KM 27 menghala ke Telok Panglima Garang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, pihaknya telah mendapat laporan berkenaan kejadian berkenaan dan telah menahan pemandu lori terbabit di kawasan rehat Tanjung Dua Belas.

"Kita telah mendapat aduan daripada seorang pemandu yang mengatakan semasa dia memandu dari arah SKVE menghala ke Telok Panglima Garang dilorong kanan, dengan tiba-tiba sebuah lori datang dari arah bertentangan melawan arus.

"Namun pengadu sempat mengelak ke kiri dari melanggar lori terbabit.

"Dari maklumat di media sosial juga kita mendapati seorang pelayar memuat naik video lori berkenaan dipandu secara berbahaya melawan arus," katanya.

Beliau berkata, atas maklumat diterima, Pasukan HMPV IPD Kuala Langat diketuai telah berjaya menahan pemandu lori jenis tanker di Kawasan Rehat Tanjung Dua Belas.

Menurutnya lagi, pemandu lori terbabit telah ditahan reman dan pihak polis akan menjalankan ujian darah dan air kencing ke atas pemandu.