SHAH ALAM - Lintang-pukang melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.

Itu situasi yang berlaku dalam serbuan Jabatan Imigresen Selangor di rumah kongsi yang terletak di Setia Taipan Alam Nusantara, di sini, kelmarin.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Omran Omar berkata, serbuan Ops Ikrar kira-kira jam12.30 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat dan risikan.

Katanya, ketika serbuan kebanyakan warga asing sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran pihaknya.

"Malah, ada antara mereka ini cuba melarikan diri, namun tindakan itu gagal apabila berjaya diberkas oleh pegawai operasi.

"Ops Ikrar ini telah memeriksa seramai 320 warga asing dan hasilnya seramai 102 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya.

Beliau menambah, pemeriksaan mendapati warga asing yang ditahan terdiri 71 lelaki dan 31 wanita berusia lingkungan satu hingga 52 tahun.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati warga asing ini membabitkan warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

"Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi ini adalah di atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tamat tempoh pas dan pas yang di pindakan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk diperiksa dan siasatan lebih lanjut," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :