KUALA LANGAT - Lima premis perniagaan makanan diarah menghentikan operasi mereka selama dua minggu berkuatkuasa serta-merta setelah pelbagai kesalahan dikesan ketika Operasi Bersepadu Premis Perniagaan Makanan, hari ini.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Noor Hayati Ibrahim berkata, antara kesalahan dikesan termasuklah keadaan premis yang tidak bersih termasuk bahan mentah dihurung lipas, tiada suntikan Anti Typhoid serta susun atur barang dan suhu peti sejuk tidak menepati piawaian ditetapkan.

Katanya, notis arahan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan MDKL di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 2009 mengikut Undang-Undang Kecil Establisyment Makanan MDKL 2007 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pengendali Makanan MDKL 2007.

"Kita telah melakukan serbuan dan pemeriksaan membabitkan 10 premis makanan di sekitar Sijangkang dan Telok Panglima Garang.

"Lima daripadanya didapati tidak melakukan kesalahan atau tidak menepati piawaian ditetapkan dan kita telah keluarkan notis arahan penutupan operasi selama dua minggu serta-merta.

“Pemantauan aspek kebersihan menunjukkan premis makanan ini tidak mengikut seperti garis panduan dan langkah kebersihan, manakala persekitaran premis tidak diselia dengan baik,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, Hayati berkata kesemua pemilik premis berkenaan juga diarahkan mengambil tindakan sewajarnya terutama mematuhi piawaian ditetapkan sebelum pemeriksaan semula dilakukan.

“Kami beri tempoh selama 14 hari untuk mereka menjalankan kerja pembersihan sebelum pemeriksaan semula, jika didapati benar-benar bersih dan mengikut piawaian ditetapkan barulah mereka boleh kembali beroperasi.

“Namun, jika masih gagal membuat tindakan pembetulan, kita tidak akan benarkan mereka beroperasi dan tidak teragak-agak untuk melanjutkan tempoh penutupan premis,” katanya.