KUALA LUMPUR - Seorang lelaki melecur 30 peratus di bahagian muka dan badan akibat disimbah asid dalam kejadian di Jalan Raja Chulan, petang Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, kejadian dalam kejadian jam 6.35 petang itu disedari seorang lelaki yang melihat dua suspek yang melakukan jenayah itu terhadap mangsa yang berada dalam kereta.

Menurutnya, suspek bertindak memecahkan cermin kereta yang sedang dipandu mangsa sebelum mencurahkan cecair dipercayai asid.

"Saksi menyatakan semasa beliau berada di hadapan Menara Olympia Jalan Raja Chulan, beliau ternampak dua orang lelaki menaiki motorsikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru gelap, nombor pendaftaran tidak

pasti telah bertindak memecahkan cermin sebuah kereta yang sedang bergerak dan menyimbah cecair dipercayai asid terhadap pemandunya.

"Mangsa adalah seorang lelaki berbangsa Cina telah cedera di bahagian muka dan badan. Mangsa kemudiannya telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Tung Shin untuk rawatan selanjutnya.

"Akibat dari kejadian tersebut, mangsa yang berusia 47 tahun itu telah mengalami kecederaan lecur 30 peratus di bahagian kanan muka , kedua-dua tangannya, di bahagian belakang badan serta paha kanannya,"katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mazlan, kedua-dua suspek dipercayai berusia lingkungan 40-an menggunakan cecair dipercayai asid untuk mencuci tandas.

Ujarnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes ini disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

"Polis Kuala Lumpur kini giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek dan sekiranya terdapat sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Insp Arizal Fiveroses Bin Ghazali (Pegawai Penyiasat) di talian 019-3463686 atau  DSP Gunalan a/l Muniandy (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi) di talian 019-3114418,"katanya.