SHAH ALAM - Seorang lelaki memberi alasan menunggang motosikal yang dicuri daripada kakaknya bagi mengelakkan daripada ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di KM11.6 susur keluar ke Lebuh raya Persekutuan, pagi tadi.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas menunggang motosikal jenis Modenas CT115S merah yang dilaporkan hilang 25 Disember lalu di Kelana Jaya.

"Saya selalu minta nak pinjam motosikal tetapi dia tak nak bagi, jadi saya curi motosikal itu. Dia tak tahu saya yang curi motosikal, saya juga tak pasti dia buat laporan polis atau tidak," katanya kepada anggota polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, bagaimana taktik lelaki tersebut tidak berjaya kerana nama pemilik motosikal itu tidak sama dengan nama kakaknya.

"Suspek yang beralamat di Petaling jaya itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah untuk tindakan lanjut. Dia sebelum ini juga pernah ditangkap atas kesalahan memiliki motosikal curi dan baru habis menjalani hukuman penjara," katanya.

Menurutnya, dalam operasi bermula jam 1.30 hingga 3.30 pagi itu, polis turut mengeluarkan 106 saman kepada pesalah trafik yang berusia lingkungan 15 hingga 27 tahun.

"Operasi yang disertai 66 petugas itu turut dibantu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan sukarelawan polis," katanya.

Selain saman katanya, 57 motosikal turut disita dan kenderaan itu serta penunggangnya dibawa ke IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Daripada saman yang dikeluarkan, 56 saman adalah tidak memiliki lesen, nombor plat tidak mengikut spesifikasi (19), salah guna Lesen Kenderaan Motor (16), tiada cermin sisi (8), tidak mempamerkan cukai jalan (3), tiada pelekat L dan P (2) serta masing-masing satu bagi lesen tamat tempoh dan ubah suai ekzos.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Padah memiliki besi tajam yang dipercayai digunakan untuk curi motosikal, seorang penganggur dihukum penjara lima tahun di mahkamah sesyen, di sini, tadi.
  • BUKIT MERTAJAM - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai anggota geng curi motosikal dalam serbuan di sebuah pondok di Perai, di sini semalam.
  • BUKIT MERTAJAM - Polis menahan tiga anggota geng curi motosikal termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Petani, di sini awal pagi ini.
  • PASIR MAS - Kumpulan curi motosikal yang digelar sebagai Geng Khairy Bechah Palas hampir berjaya dilumpuhkan apabila enam daripada 11 ahlinya berjaya dicekup polis dalam Ops Lejang bermula pada 4 Disember lalu di sekitar kawasan Bunut Susu.