TANJONG KARANG - Sejumlah 8,043 pesawah di Selangor bakal menerima bantuan khas sementara menunggu hasil tuaian padi berjumlah RM4.8 juta tahun ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata setiap pesawah menerima sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan bermula pertengahan bulan ini.

"Bantuan itu akan diberi kepada pesawah secara berperingkat, iaitu menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang yang melibatkan 1,089 pesawah, PPK Pasir Panjang (3,068 pesawah) dan PPK Sungai Besar (3,886 pesawah).

"Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk membantu pesawah selain menjaga kebajikan golongan ini di Selangor," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas itu bagi kawasan Sawah Sempadan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemberian bantuan khas itu juga selari dengan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi merea­lisasikan hasrat itu.

Dalam pada itu, Noh memohon pesawah di negeri ini yang tidak mendapat bantuan berkenaan supaya segera membuat aduan kepada pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

"Saya difahamkan kira-kira 700 pesawah tercicir daripada senarai bantuan ini dan meminta siapa yang tercicir nama agar menghubungi IADA. Bantuan ini untuk semua, kita tidak pilih kasih kepada mana-mana pesawah," katanya. - Bernama