SHAH ALAM - Lebih 1,000 anak Kelantan membanjiri pekarangan Kumpulan Media Karangkraf sempena jamuan hari raya 2018 anjuran Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim (Pakatan Darul Naim).

Presiden Pakatan Darul Naim, Datuk Dr Noordin Ab Razak berkata, majlis jamuan hari raya itu khas untuk anak-anak Kelantan yang berada di perantauan.

Katanya, majlis tersebut adalah acara wajib dan akan diadakan setiap tahun.

“Pakatan Darul Naim peka dengan anak-anak Kelantan yang menjadi perantauan di tempat orang.

“Sebab itu kita anjurkan majlis jamuan hari raya ini yang bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim yang sudah sedia terjalin,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Pakatan Darul Naim ditubuhkan sejak 1976 dan hampir setiap tahun mengadakan majlis jamuan hari raya ini.

Katanya, pemilihan Kumpulan Media Karangkraf sebagai lokasi majlis dilihat bersesuaian kerana ramai anak Kelantan yang tinggal dan bekerja di kawasan Lembah Klang.

Selain Kumpulan Media Karangkraf, majlis jamuan hari raya 2018 ini juga mendapat kerjasama dengan TRW Club KLIA dan TRW Lembah Klang.

Sementara itu, Naib Presiden, Mohd Kamaruddin Mahmood berkata, tahun lepas majlis ini diadakan di Istana Budaya dan untuk tahun akan datang pengurusan merancang untuk memilih Putrajaya sebagai lokasi majlis.

“Semenjak dua tiga tahun kebelakangan ini, pihak pengurusan Pakatan Darul Naim telah melakukan perubahan dengan memilih lokasi yang mempunyai ramai anak Kelantan.

“Sebelum ini kami memilih Istana Budaya kerana kawasan berkenaan dilihat strategik dan berdekatan dengan anak Kelantan yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.

“Begitu juga untuk tahun ini, kami memilih Kumpulan Media Karangkraf kerana ramai anak Kelantan tinggal dan bekerja di kawasan ini,” katanya.

Menurut Mohd Kamaruddin lagi, majlis jamuan hari raya ini meriah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti dikir barat dan pelbagai aneka juadah yang terdiri daripada makanan tradisional masyarakat Kelantan.