SHAH ALAM -  Polis Selangor berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun membabitkan kedai emas di Selangor,  Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan tertangkapnya 11 suspek dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan sejak 18 Mei lalu.

Kesemua kes di tiga negeri terbabit merupakan kes samun kedai emas yang dilaporkan sejak 2017 termasuk yang terbaharu melibatkan kejadian di Kedai Emas Poh Kong, pusat beli-belah Atria Mall,  Damansara pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, susulan tangkapan enam suspek termasuk dua yang ditembak mati di lokasi kejadian pada Jumaat lalu, pihaknya berjaya mengesan seorang lagi suspek lelaki di kawasan Bukit Beruntung,  Rawang kira-kira jam 1 pagi keesokan harinya.

Beliau berkata,  suspek yang menaiki kereta jenis Honda Civic dengan nombor pendaftaran palsu itu cuba melarikan diri, sebelum hilang kawalan dan terbabas melanggar pokok.

Menurutnya,  suspek kemudiannya keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Polis juga terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan berjaya menumpaskan suspek.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui sepucuk pistol revolver, dua bilah parang, satu topi keledar cermin gelap serta barang kemas yang disamun dan masih berlabel Poh Kong," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata,  serbuan diteruskan,  sebelum pihaknya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 27 tahun di sebuah rumah di Bukit Beruntung pada jam 1.15 pagi.

Katanya,  siasatan awal mendapati suspek berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah.

"Hasil soal siasat ke atas suspek itu, kita dapat maklumat berhubung suspek ketiga yang juga ketua kumpulan terbabit.

"Serbuan dibuat pada hari yang sama di sebuah rumah di Bukit Sentosa pada jam 3 pagi dan polis menahan suspek terbabit yang cedera di kaki akibat terkena tembakan dalam insiden samun baru-baru ini, "katanya.

Mazlan berkata,  susulan kejayaan penahanan tiga suspek itu, dua lagi ahli dari kumpulan sama kemudiannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada jam 5 petang hari yang sama.

Beliau berkata,  dengan penahanan lima suspek itu,  polis berjaya merampas semula sebahagian besar barang kemas yang disamun berjumlah RM400, 000 serta empat pucuk pistol semi auto jenis colt berisi lapan butir peluru,  satu revolver jenis colt berisi tiga butir peluru, satu pistol angin dan satu revolver jenis Smith&Wesson berisi tiga butir peluru serta dua kelonsong peluru.

Katanya,  kesemua suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun itu direman seminggu sehingga 26 Mei ini mengikut Seksyen 3 FIPA, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

"Kita percaya sudah menyelesaikan kes berkaitan samun kedai emas dan berharap orang awam tidak terpedaya dengan membeli barang kemas yang tiada resit serta meragukan.

 

 "Polis juga masih memburu tiga lagi suspek yang bebas dan menyeru orang awam untuk tampil menyalurkan maklumat," katanya.