RAWANG - Kedai makan dan aksesori telefon antara deretan lapan kedai yang hangus dalam kebakaran di Jalan Maxwell-Pekan Rawang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.51 pagi itu, pasukan bomba mengambil masa kira-kira empat jam memadamkan kebakaran di bangunan separa kekal (kelas B) yang terletak di stesen bas lama Rawang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, Bonny Martin berkata, pihaknya tiba di lokasi jam 1.57 pagi dan sebanyak 50 peratus kawasan kejadian telah terbakar.

"Tekanan air rendah dan kelewatan pemotongan bekalan elektrik antara kesukaran sepanjang operasi pemadaman itu.

"Bagaimanapun, api berjaya dikawal sejam kemudian dan operasi tamat sepenuhnya jam 5.59 pagi," katanya.

Katanya, operasi pemadaman dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dan Selayang dengan keanggotaan seramai 29 orang.

"Tindakan pantas pasukan berjaya mengawal kebakaran merebak ke sebuah hotel bajet dan kedai berhampiran.

"Anggaran kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan sebanyak 90 peratus. Bagaimanapun insiden tidak melibatkan mangsa, "katanya.

Katanya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.