KUALA LUMPUR - Seorang wanita tidak menyangka dirinya antara individu membantu menyambut seorang bayi lelaki di sebuah pameran jualan barangan bayi, di sini.

Detik cemas dan pengalaman itu dikongsinya di Facebook miliknya, Tinie Badri.

Katanya, usai membeli-belah di ekspo tersebut, dia berehat di tepi pintu masuk ekspo berkenaan.

Bagaimanapun, tiba-tiba dia terdengar perbualan dua wanita dalam nada cemas ketika memasuki pintu masuk ekspo itu.

"Tiba-tiba pintu di tepi mami terbuka, dan seorang ibu hamil bersama seorang kawannya masuk. Dan kawannya beritahu “Nak bersalin dah ni". "Ha??? Ke contraction je?” Mami menyedapkan hati “Tak, dah nak keluar” kata ibu tadi sambil menurunkan seluarnya. Oh my.. paniknya!.

Ibu melahirkan bayi lelaki di pintu masuk 'TCE Baby Expo'. Kredit: Facebook Tinie Badri.

“YA ALLAH YA ALLAH tolong tolong panggil ambulans, nak bersalin dah” mami menjerit beritahu orang sekeliling.

"Telefon mami habis bateri, kawannya kata tak sempat dah tolong 'cover' dia dengan kain. YA ALLAH serius mengeletar mami masa ni. Mami dan sorang lagi di situ tolong tutup ibu yang dah terduduk di hujung sudut," katanya.

Kurang sejam, katanya, ibu itu selamat melahirkan bayi lelaki di hadapan pintu masuk ekspo dan proses melahirnya berjalan lancar.

"Bayi dah selamat dilahirkan.

“Allahuakbar, Allahuakbar”. Mami masih panik, kawan ibu tu tadi dah menangis sambil pegang bayi, syabas buat kawannya yang berani!.

"Suami tolong bagi kain pelekat dari dalam surau untuk cover ibu tadi, ada seorang makcik sedekahkan kain batiknya untuk selimutkan bayi itu," katanya.

Dalam pada masa sama, ada individu turut membantu menghubungi ambulans dan pengurusan ekspo.

"Mami sempat bercakap kejap dengan operator kecemasan yang bertanyakan keadaan bayi dan ibu. Mami beritahu bayi ada menangis, mata berkedip dan ada pergerakan. Ibu pun sedar. Kami disuruh selimutkan bayi.

"Masa ni kawan yang pegang bayi pun dah lenguh bertinggung. Mami tolong pegang bayi tu sementara dia betulkan duduk. Allahuakbar nak nangis rasa dapat pegang bayi yang masih basah. Lembut, bersih, Comel sangat. Bayi lelaki," katanya.

Kemudian pasukan perubatan dan ahli keluarga ibu berkenaan juga tiba untuk membantu si ibu.

Difahamkan, kejadian itu adalah kali pertama berlaku di ekspo berkenaan malah menjadi detik bersejarah buat mereka yang membantu.

Ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan menghulurkan air, memegang kain untuk melindungi si ibu dan anaknya hingga mereka selamat di bawa ke Hospital Kuala Lumpur.

"Terima kasih pada semua yang membantu. Baik-baik semuanya. Rezeki ibu tu mudah sahaja melahirkan.

"Jam 7 katanya mula sakit, dia bersalin tu lingkungan 7.30-7.40 malam. Ibu bayi itu juga sempat bersembang agaknya sebab dia banyak jalan memudahkan dia bersalin.

"Tengok mukanya pun tenang ceria. Tahniah puan! Selamat Berpantang. Terima kasih ALLAH atas pengalaman hari ini," katanya.