TANJONG KARANG - Anggota bomba selamatkan kucing yang terperangkap di pokok kelapa setinggi kira-kira lapan meter di Jalan Ban RB, di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.15 malam daripada pemilik haiwan berkenaan yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Zuraini Mohamed Rawian dengan tujuh anggota ke lokasi.

"Anggota menggunakan tangga bagi menyelamatkan kucing berkenaan yang dipercayai sudah beberapa jam di atas pokok.

"Kucing itu berjaya dibawa turun dengan selamat dan diserahkan semula kepada pemiliknya yang turut berada di lokasi," katanya.