KAJANG - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membangkitkan isu banjir di Pekan, Pahang sebagai membalas kritikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai krisis air di negeri ini.

Sambil menyindir Najib dengan berkata, Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan masalah banjir di Pekan Kajang ketika keadaan di Pekan, Pahang berbeza sama sekali, Azmin mengakui berang  apabila soalannya mengenai hutang negara di Parlimen kelmarin dibalas sindiran mengenai isu air Selangor.

"Selangor berjaya mengatasi masalah banjir di Kajang berbanding masalah banjir di Pekan Pahang yang masih gagal ditangani sehingga sekarang.

"Masalah air berlaku hanya empat hari tetapi isu 1MDB ditanggung sehingga empat generasi," katanya ketika menyaksikan penyerahan Projek Menaik Aras Jambatan Sungai Jelok, Pekan Kajang, hari ini.

Semalam, sidang parlimen hangat selepas Azmin yang bertanyakan mengenai hutang negara apabila 12.5 peratus pendapatan negara atau RM31 bilion digunakan untuk membayar faedah tahun ini.

Najib membalas persoalan tersebut dengan gurauan krisis air di Selangor sebelum menjawab soalan pokok memaklumkan negara berkemampuan dalam menjelaskan hutang tersebut.

Azmin berkata, menerusi peruntukan RM8 juta kerajaan negeri telah menyelesaikan isu banjir di Pekan Kajang yang sebelum ini terkenal dengan masalah itu.

“Semalam di Parlimen hangat. Pepatah Melayu mengingatkan kita semua, kuman di seberang laut nampak tapi gajah depan mata tak nampak.

“Inilah masalah sesetengah pemimpin hari ini," katanya.

Mengulas projek dengan peruntukan RM8 juta tersebut, ia adalah komitmen kerajaan negeri memastikan penyelenggaraan dan kemudahan warga Kajang diberikan tumpuan.

“Pelan jangka masa panjang dan sederhana direka bagi memenuhi aspirasi rakyat Selangor sebagai negeri berteknologi tinggi, kewangan kukuh dengan kemudahan infra.

“Menjelang 2020, jumlah penduduk di kawasan Kajang ini dianggarkan mencecah 1.4 juta orang dan unjuran ini menjadi cabaran terbesar Kerajaan Negeri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi mampan," katanya.

Katanya, projek yang dimulakan pada 7 Disember 2016 lalu menggunakan teknologi ‘Bebo Arch’ yang berbentuk gerbang sebagai alternatif kepada penggunaan jambatan alang konkrit untuk mengelakkan banjir.

"Pelaksanaannya mampu menampung kapasiti air lebih tinggi yang berjaya disiapkan mengikut perancangan awal  pada 26 Januari 2018 lalu," katanya.