KUALA LUMPUR - Siri keempat Program Singgah Mesra Perangsang Selangor yang dianjurkan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyaksikan kehadiran hampir 200 peminat sukan berbasikal yang menyertai aktiviti kayuhan amal sejauh 32 kilometer.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik KPS, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS).

Ia bertujuan memberi peluang kepada warga kerja mendekati masyarakat sambil menyantuni golongan asnaf dan kurang bernasib baik.

“Daerah Sabak Bernam dipilih sebagai destinasi kali ini bagi merapatkan ukhwah serta mendekati penduduk setempat sambil berkayuh mengelilingi kawasan kampung yang hijau dan persisiran pantai dengan menghirup udara segar jauh dari kesibukan kota,” katanya dalam satu kenyataan.

Fauzi berkata sewaktu perjalanan mengelilingi kampung, mereka turut menghulurkan bantuan kewangan kepada seorang warga emas yang uzur dan menyerahkan bantuan peralatan berniaga seperti khemah, meja dan dapur kepada seorang mualaf yang ingin memulakan perniagaan menjual pisang goreng.

Program tersebut turut menyaksikan 18 orang asnaf menerima sumbangan wang tunai diikuti jamuan kenduri rakyat yang dihadiri kira-kira 300 pengunjung.

Kayuhan berkonsepkan ‘fun ride’ tersebut telah bermula dari Dewan Seri Nakhoda, Pekan Bagan Nakhoda Omar merentasi Kampung Sungai Tengar dan Kampung Parit Baharu.

Antara aktiviti kemasyarakatan yang turut diadakan ialah gotong-royong, ziarah, program keagamaan serta sukaneka. - Bernama