• KPDNKK terima aduan pesalah diperas ugut EPS Abu Samah (tengah) menunjukkan contoh permit EPS yang berdaftar di bawah KPDNKK, ketika sidang media berlangsung.
1 /

KUALA LUMPUR - Mengaku sebagai ejen penarik kenderaan berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kemudiannya menggunakan ‘kuasa’ memeras ugut mangsa yang juga pesalah dengan menyuruh membayar sejumlah wang bagi mengelakkan kenderaan disita.

Itu taktik digunakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas individu yang melakukan kesalahan bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan dengan mudah.

Perkara tersebut diakui pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hasil aduan yang diterima.

Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, agen penarik kereta berdaftar di bawah kementerian dinamakan Ejen Pemilikan Semula (EPS) yang perlu mematuhi tatacara perolehan ditetapkan.

Bagaimanapun menurutnya, berdasarkan aduan terbaru berlaku pada 4 Februari lalu, sekumpulan individu mengaku EPS jelas melanggar tatacara yang sepatutnya.

“EPS itu mengaku sebagai pegawai daripada KPDNKK dengan menunjukkan permit, bertindak merampas kunci daripada pengadu, dalam masa sama meminta wang sejumlah RM20,000 jika tidak mahu kenderaan tersebut ditarik.

“Bagaimanapun, tindakan bijak pengadu yang merasakan berlaku sesuatu yang tidak wajar, menghubungi polis, membawa kepada penahanan EPS tersebut,” katanya ketika sidang media, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PPDNKK WPKL, Rosli Ahmad dan Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Abu Samah berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana EPS telah diberikan taklimat berhubung tatacara yang sewajarnya dan menyifatkan terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan menyamar sebagai EPS.

Justeru katanya, pembeli atau penyewa kereta perlu memahami hak mereka yang termaktub di bawah pindaan baru Akta Sewa Beli 1967 berhubung soal proses pemilikan semula kenderaan yang dibeli.

“Pintaan akta pada 2010 dan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2011 menetapkan semua EPS dikehendaki memiliki permit yang dikeluarkan kementerian.

“Pemegang permit juga harus mengemukakan permit EPS, Kad Pengenalan dan Perintah pemilikan semula (RO) oleh tuan punya kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, EPS juga perlu mendapat keizinan daripada penyewa sebelum memasuki premis persendirian serta berketerampilan kemas dan bersikap profesional semasa menjalankan proses pengambilan semula kenderaan tanpa melakukan sebarang kekerasan.

“Proses pengambilan semula juga hanya boleh dijalankan bermula 9 pagi hingga 9 malam, termasuk memberi masa yang munasabah kepada penyewa/pembeli mengeluarkan barangan peribadi dari kenderaan.

“Kepada pengguna, dinasihatkan merakam video mahupun mengambil gambar ketika proses pemilikan dan keadaan kenderaan agar dapat dijadikan bukti sekiranya terdapat keraguan,” katanya.

EPS yang didapati melanggar syarat dan undang-undang yang diperuntukkan di bawah akta terlibat boleh menyebabkan permit ditarik semula, dibatalkan mahupun digantung.

Jika didapati bersalah, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun manakala kesalahan kedua, denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Pengguna juga boleh menyalurkan sebarang aduan berkenaan hal tersebut kepada KPDNKK melalui aduan@kpdnkk.gov.my atau talian bebas tol 1-800-886-800 atau 03-40454555 (PPDNKK WPKL).