KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyerbu premis di Lorong Haji Taib 5, Chow Kit, di sini, dipercayai menjual barangan kosmetik tiruan.

Serbuan melibatkan enam pegawai itu dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari, semalam, hasil maklumat yang diterima pihaknya.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Low Swee Hon, berkata, dalam serbuan itu, tiga buah premis telah diserbu.

“Hasil pemeriksaan telah merampas sebanyak 570 botol minyak wangi berjenama Chanel, 30 botol bedak dan alat kosmetik (12 unit).

“Dianggarkan kesemua barang disyaki tiruan ini bernilai RM6,120,” katanya.

Beliau berkata, dipercayai premis ini merupakan pembekal kepada pemborong-pemborong di sekitar Kuala Lumpur. Pihaknya percaya, pemilik premis ini adalah warga Pakistan.

Katanya, namun ketika serbuan, pemilik premis terbabit telah menghilangkan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.