BANTING - Peralatan makanan disimpan di tempat berhabuk, pengendali tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut malah sisa makanan dibiar bersepah di sekitar premis.

Itu antara kesalahan dikenal pasti dilakukan pemilik premis dan peniaga makanan dalam serbuan dilaksanakan Bahagian Kesihatan dan Penguat Kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), semalam.

Lebih teruk lagi, pemilik premis didapati, tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan dan minyak terus ke longkang selain menggunakan peti sejuk simpanan makanan yang rosak.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, bertindak atas aduan dan maklumat awam pihaknya menyerbu tiga premis sekitar daerah ini.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan,didapati ada pemilik kedai makanan yang menyewakan lot gerai dalam premis kepada peniaga lain.

“Kita kesal kerana pemilik premis dan peniaga-peniaga ini melakukan pelbagai kesalahan sedangkan MDKL tidak berkompromi dalam soal kebersihan dan penyediaan makanan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, sebuah premis disita di bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan pemilik diarah lakukan pembersihan segera dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Beliau berkata, empat kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak menyelenggara premis makanan dengan baik dan bersih di bawah Seksyen 15, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan 3 di bawah Seksyen 9 (f), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 kerana tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu.

Dalam pada itu, Mohamad Zain turut mengingatkan semua peniaga di daerah ini supaya memeriksa serta memastikan lesen perniagaan mereka tidak tamat tempoh dan mematuhi semua syarat kelulusan lesen.