Kontroversi Unisel
Kontroversi Unisel

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor membantah tindakan Kerajaan Negeri meletakkan wakil yang mempunyai kaitan dengan politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor (Unisel) kerana institusi pendidikan seharusnya bebas daripada sebarang unsur politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Sulaiman Abdul Razak mempersoalkan pelantikan tiga timbalan naib canselor (TNC) iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat sebagai ahli lembaga pengarah.

“Mereka bertiga terdiri daripada ahli politik dan pastinya akan mencetuskan kemelut dalam pengurusan. Oleh itu, lantikan ini wajar diteliti semula.

“Penduduk setempat juga turut melaporkan kegiatan ceramah politik sering diadakan di Unisel. Malah institusi ini turut dilihat sebagai tempat Pakatan Rakyat (PR) menabur doktrin berunsur kepartian yang mencetuskan pertikaian politik,” katanya.

Beliau berjanji jika diberi peluang mentadbir semula Selangor, BN akan memperbaiki semua kelemahan dan menjadikan Unisel sebagai universiti yang mampu bersaing dengan universiti lain di negara ini.

Adun Sungai Pelek, Yap Ee Wah turut menyokong gesaan Sulaiman itu mahu Kerajaan Negeri tidak mencampur adukkan pendidikan dengan politik.

"Faekah, Rashid dan Che Rosli merupakan pemimpin PR, mereka tidak sepatutnya berada di jawatan tersebut kerana berkemungkinan tindakan yang bakal diambil lebih menjurus ke arah politik," katanya.

Mengenai pemilihan TNC yang pernah dikaitkan dengan kes rogol semasa berkhidmat di sebuah universiti lain, beliau berkata, TNC merupakan contoh teladan pelajar dan jika beliau tidak mampu menggalasnya, beliau disarankan melepaskan jawatan tersebut.