SABAK BERNAM - Pengguna yang menggunakan kemudahan tandas awam di stesen bas dan kereta sewa di Pekan Sabak di sini, mengeluh berikutan kesemua pintu tandas yang baharu sahaja dibaik pulih gagal berfungsi dengan sempurna sejak tiga bulan lalu.

Keadaan itu mengundang rasa tidak selesa pengguna terutama wanita setiap kali ingin menggunakan kemudahan tersebut.

Seorang pemandu kereta sewa, Wahab Zakaria, 54, berkata, kerja-kerja baik pulih yang dilaksanakan pihak kontraktor dilantik Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dilaksanakan dengan tidak sempurna.

“Semua pintu tandas ini tak dapat ditutup rapat sebab penyambungan paip terlalu panjang hingga menyukarkan pintu di setiap bilik tandas ditutup.

“Ini menyusahkan orang awam yang nak membuang air terutama bagi penumpang bas yang baru turun ke stesen ini,” katanya.

Ahmad Fairus Noryazan, 36, berkata, tandas awam itu bukan saja digunakan penumpang bas, tetapi pengunjung di medan selera di kawasan terbabit.

“Hari ini saya dan keluarga singgah ke medan selera berhampiran, tiba-tiba anak saya mengadu nak buang air. Bila sampai sini, tengok tandas susah nak tutup, jadi susahlah saya dan isteri nak uruskan anak,” katanya.

Ahmad Fairus yang menetap di Kampung Batu 37 Sabak Bernam memberitahu, pihak MDSB digesa supaya memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Inilah satu-satunya tandas awam yang ada di kawasan ini. Tandas ini digunakan penumpang bas yang nak ke Lembah Klang atau ke Teluk Intan,” katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Mustafa Sidek, 75, bekata, lebih memburukkan keadaan, terdapat segelintir pengguna terpaksa membuang air di belakang tandas terbabit.

Katanya, keadaan itu mengundang bau busuk dan mencemarkan kawasan persekitaran yang menjadi tumpuan awam.

“Nak masuk tandas semua pintunya dah rosak. Banyak masalah kalau perkara ini tiada jalan penyelesaian,” katanya.

Khalid Hasbullah, 68, berkata, dia terpaksa mengambil alih sementara pengurusan tandas terbabit selepas terbiar berikutan kerja baik pulih dilaksanakan.

“Saya buka tandas ini setiap hari untuk orang awam, cuma pada jam 11 malam ke atas saya terpaksa tutup tandas ini.

“Ini disebabkan pintu tandas yang tak tutup rapat mengundang risiko bahaya kepada pelanggan yang buang air pada waktu malam terutama wanita.

“Saya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengguna untuk masuk ke tandas, terpulanglah kepada mereka untuk bayar seikhlas hati,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Tandas awam suatu ketika dahulu sering dilihat membawa imej buruk.
  • KULIM - Isu keselamatan di tandas awam semakin menghantui pengguna terutama dalam kalangan wanita.
  • KOTA TINGGI - Penantian lima tahun peniaga dan juga jemaah surau di Bazar Kota Tinggi dekat sini yang memohon agar sebuah tandas dibina di kawasan berkenaan, akhirnya tercapai selepas Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) memulakan projek pembinaan tandas tersebut.
  • KUALA NERANG - Orang ramai yang mengunjungi Pusat Peranginan Puncak Janing kecewa dengan kemudahan tandas yang terabai hingga menimbulkan masalah kepada mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.