PANDAN INDAH  –  Kerajaan Negeri Selangor mendakwa berlaku ‘penipuan’ oleh segelintir syarikat kontraktor ketika melaksanakan tugas memperbaiki jalan berlubang kerana tidak mematuhi standard membina jalan yang telah ditetapkan.
Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, pihaknya memandang serius masalah ini dan telah bertindak tegas dengan menyenarai hitamkan syarikat kontraktor berkenaan.
“Walaubagaimanapun, kita turut mendapati pemilik syarikat terbabit akan mendaftarkan syarikat menggunakan nama lain pula untuk mengaburi mata Kerajaan Negeri.
“Penipuan yang berlaku apabila kontraktor berkenaan dipercayai menukar kualiti bitumin yang digunakan hingga akhirnya jalan yang diturap rosak semula,” katanya.
Izham berkata, beliau seringkali menegur masalah itu kepada agensi berkaitan agar mereka berusaha mengatasinya.
“Selain itu, agensi berkaitan juga tidak seharusnya memberi harga yang terlalu rendah daripada ‘reserve price’ kepada syarikat tersebut bagi mengelak mereka melakukan kerja yang tidak berkualiti,” katanya.
Izham berkata, beliau turut tidak berpuas hati dengan ‘workmanship’ yang dilaksanakan oleh segelintir syarikat kontraktor yang memperbaiki jalan berlubang.
“Workmanship mereka teruk, jalan tidak boleh ditampal ketika ia basah, namun mereka datang tampal je lubang macam tu dengan menggunakan bitumen yang sejuk, kena air sekejap saja tanggal.
“Mereka perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang telah ditetapkan, jangan buat kerja sambil lewa,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak dapat memantau semua ‘pothole’ setiap hari.
“Saya telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya, saya ada beberapa inovatif dan idea untuk membaiki jalan berlubang di negeri ini.
“Jalan raya juga ada jangka hayatnya, ramai tidak tahu perkara itu, jangka hayatnya pula kira-kira 15 atau 20 tahun sahaja, kos juga agak tinggi untuk membaik pulih jalan yang berusia lebih 20 tahun,” katanya.