KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya 10 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan emas membabitkan kerugian lebih RM150,000.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia, T.Kamalanathan, berkata, kesemua mangsa berkenaan pada awalnya merupakan calon pekerja bagi tawaran sebagai eksekutif syarikat tersebut namun akhirnya terjebak dengan sistem pelaburan berkenaan.

Menurutnya, syarikat itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah lagi syarikat antarabangsa berpangkalan di Hong Kong.

"Mereka mengiklankan untuk ambil pekerja dengan gaji RM2,500, apabila ramai yang datang untuk temuduga, mereka akan diberi kelas latihan dan diperkenalkan dengan sistem pelaburan berkenaan.

"Malah mereka juga digalakkan untuk membawa lebih ramai kenalan untuk bersama-sama melabur dalam sistem itu agar dapat menggandakan lagi keuntungan," katanya kepada Sinar Harian.

Laporan polis dibuat oleh kesemua individu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Tambah T.Kamalanathan, pelaburan bermula RM3,000 itu turut melibatkan penggunaan aplikasi telefon pintar membolehkan pelabur melihat kemaskini gandaan keuntungan yang diperolehi.

"Jadi apabila lihat hasil pelaburan bertambah Dari RM40,000 jadi RM80,000, mereka ini jadi seronok dan yakin untuk libatkan lebih ramai orang.

"Namun apabila pelabur mahu mengeluarkan keuntungan pelaburan, pihak syarikat membuat helah mengatakan akaun telah disita dan perlu membuat sejumlah bayaran lagi membolehkan mereka mengeluarkan keuntungan berkenaan," katanya.