SHAH ALAM - Satu pelan khusus kepada warga emas perlu dirangka menjelang ‘negara tua’ tahun 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, populasi mereka yang berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030.

"Jadi kita memerlukan penyediaan pelan bagi kumpulan ini sebagai platform mencurahkan ilmu kepada golongan muda.

“Mengambil contoh di Jepun ada satu perkampungan warga emas yang membolehkan kemahiran mereka dikongsi dengan generasi muda. Idea itu baik sebagai sumbangan kepada masyarakat selain membantu mereka kepada gaya hidup sihat dan efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sambutan Hari Warga Emas peringkat negeri Selangor anjuran Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga di Hotel De Palma di sini, kelmarin.

Dalam program tersebut kira-kira 1,000 warga emas  dari seluruh Selangor termasuk dari rumah jagaan orang tua dirai bagi menghargai jasa mereka.

Sementara itu, warga emas, Kamarudin Yeob, 70, berkata, program tersebut menceriakan hidupnya yang kini mendiami Rumah Sri Kenangan Cheras.

Mengimbas kembali sejarah hidupnya, Kamarudin berkata, kehilangan ibu bapa sejak kecil dan terjerumus dalam kancah dadah menyebabkan hidupnya tidak terurus.

Menurut warga emas itu, seawal umur 11 tahun dia terpaksa bekerja di pasar untuk mendapatkan wang sebelum terjebak dengan dadah.

“Saya lari dari rumah dan tumpang lori untuk ke Kuala Lumpur. Namun ketagihan dadah masih berterusan hinggalah pulih sepenuhnya pada tahun 2010. Itupun kerana tiada pendapatan dan hidup gelandangan sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang hidup sebatang kara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JASIN - Seorang warga emas maut ketika menunggang basikal di Kilometer 30 Selandar-Kesang di sini semalam.
  • IPOH - Orang ramai terutamanya warga emas perlu menjauhi mana-mana individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa pukau atau terpedaya dengan helah hingga mengakibatkan kerugian harta benda.
  • LEGEH - Seorang warga emas di sini hanya bergantung kepada ihsan anak-anak untuk meneruskan kehidupan sehariannya setelah tidak lagi berupaya untuk melakukan sebarang pekerjaan.
  • KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak mahu peserta industri bertanggungjawab secara aktif dalam melatih dan meningkatkan tahap kemahiran pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).