SABAK BERNAM -  Melihat panorama keindahan dan keaslian Kampung Batu 23 Sungai Nibong, di sini, sememangnya amat mengasyikkan, apatah lagi jauh daripada hiruk pikuk kota.

Suasana yang masih hijau dengan udara menyegarkan di tepi pantai sambil merasai angin sepoi-sepoi bahasa pastinya menggamit kehadiran pengunjung ke kampung ini.

Lebih menarik, kawasan itu, kini kian popular berikutan terdapat banyak kedai makan yang menawarkan juadah mi udang kepada pelanggan.

Namun, disebalik semua keindahan Kampung Batu 23 Sungai Nibong, terdapat cerita menarik mengenai asal usul kampung yang dipercayai diteroka sejak tahun 1912.

Kampung itu terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari Sungai Besar dan 13 km dari Sekinchan itu dalam Dun Sungai Panjang dan kawasan Parlimen Sungai Besar.

Sejarah bermula

Menurut Mohamed Yusof Sirat, 79, Kampung Batu 23 Sungai Nibong dahulunya dikenali sebagai Kampung Asam Jawa.

“Nama lama kampung ini diperoleh kerana di tepi ban lama kampung ini, terdapat sebatang pokok asam jawa yang besar,” katanya.

Mohamed Yusof memberitahu, kampung tradisi yang terletak di Mukim Pasir Panjang itu mula diteroka rombongan daripada Melaka, diketuai  Pawang Saad.

Mohamad Yusof yang juga generasi keempat Pawang Saad berkata, kedatangan rombongan daripada Melaka itu melalui jalan sungai dan seterusnya mereka telah berkampung dan meneroka Kampung Asam Jawa.

“Lama kelamaan kawasan ini semakin luas sehingga sampai ke Sekinchan dan semakin ramai sanak saudara dan keluarga peneroka awal terutama orang-orang dari Melaka dan Johor yang berpindah ke kampung ini,” katanya.

Ujarnya, pada ketika itu, kawasan petempatan itu juga semakin berkembang sehingga ke tepi pantai dan hutan pula diteroka untuk tujuan bertani.

“Banyak rumah dibina di kawasan pesisir sungai dan pantai pada waktu itu sebelum keadaannya berubah sehingga ke hari ini,” katanya.

Pawang jinak buaya

Jelasnya, Pawang Saad juga dikenali sebagai Pawang Buaya kerana mempunyai keistimewaan  yang tersendiri.

“Salah satu keistimewaannya ialah kemampuan  menjinak dan membanting buaya hanya dengan menggunakan lidi.

“Dalam satu peristiwa pernah seekor buaya yang tersesat terdampar di kawasan anak sungai sekitar Pasir Panjang.

“Beliau (Pawang Saad) telah menunjukkan kehebatannya dengan menggunakan lidi sahaja untuk menghalau dan menangkap buaya tersebut,” katanya.

Katanya, cerita kehebatan Pawang Saad itu disampaikan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Menurutnya, salah satu mercu tanda utama kampung itu ialah dengan pembinaan Masjid As Siraj yang berusia lebih 100 tahun.

“Masjid ini dah tiga kali dibina semula di tapak yang sama.

“Kawasan berhampiran masjid ini dulunya selalu tenggelam akibat fenomena air pasang besar, tapi sekarang bila jalan pun dah ditinggikan dan ban pun dah dibina, tiada lagi kejadian banjir,” katanya.

Masjid As Siraj yang berusia lebih 100 tahun sebahagian daripada mercu tanda kampung ini.

Destinasi percutian

Beliau berkata, kampung itu juga semakin terkenal sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancong.

“Mereka yang inginkan kedamaian selalu singgah di sini. Banyak juga inap desa dibangunkan penduduk kampung.

“Ini juga dapat menjana pendapatan mereka sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk,” katanya.

Selain itu, katanya, rata-rata penduduk kawasan itu memajukan sektor pertanian sebagai punca pendapatan.

“Kegiatan ekonomi penduduk di sini, rata-ratanya nelayan, penanam kelapa, kelapa sawit dan pesawah.

“Ada juga bekerja sendiri dan pengusaha tanaman kontan lain, selain bekerja kerajaan seperti guru dan kakitangan awam,” katanya.

Menurutnya, penduduk di kampung itu terdiri pelbagai etnik seperti Melayu Melaka, Jawa dan etnik minoriti lain.

“Perpaduan penduduk juga erat dan mengekalkan semangat kejiranan yang tinggi,” katanya.