KLANG - Sebuah kilang barangan kitar semula yang terletak di Jalan Rebana 3 di sini terlibat dalam  kebakaran lewat malam tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor,  Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.53 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas telah dikerahkan ke lokasi kebakaran.

Katanya, sebanyak tiga jentera bersama-sama 16 anggota dari BBP Andalas (enam anggota), BBP Kota Raja (empat anggota) dan BBP Sg Pinang (enam anggota) terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.

“Sewaktu tiba di lokasi, kami membuat size up dan mendapati kebakaran melibatkan kilang kitar semula yang terbakar memusnahkan barang-barang plastik yang mudah terbakar.

“Anggota mengambil tindakan mengikut konsep RECEO iaitu membuat penyelamatan, pemadaman serta pengudaraan dan mendapati tiada membabitkan mangsa dengan menggunakan tujuh  aliran air pili bomba sehingga padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kebakaran itu melibatkan kawasan berkeluasan 100 x 200 persegi dan bangunan tidak kekal.

Ali Madia berkata, tiada kemalangan jiwa atau sesiapa cedera dalam kebakaran itu dan punca kebakaran sedang disiasat.