SABAK BERNAM - Pasca PRU14 yang menyaksikan berlaku perubahan kerajaan di peringkat persekutuan memberi kesan besar kepada rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, kitaran ganas gempa bumi politik yang menyebabkan BN hilang kuasa akhirnya memberi kesan kepada manusia.

“Saya menjangkakan lebih setengah juta manusia menerima kesan ganas ini secara langsung mahu pun tidak langsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, perubahan politik itu tidak mengubah gaya hidup semakin baik sama ada mereka pengundi BN atau Harapan.

“Ternyata kos sara hidup tidak turun, bahkan semakin meningkat menjelang Syawal.

“Kuantiti kuih semakin mengecil, harga barang dapur semakin meningkat,” katanya.

Beliau memberitahu, ada dalam kalangan rakyat menyukai perkara itu berlaku, namun tidak kurang pula berasa simpati.

“Jika terbit penyesalan kepada yang diberhentikan ia tidak mengubah keadaan,” katanya.

Katanya, rakyat yang memilih Harapan pada PRU14 lalu tidak boleh menyesal dengan apa yang berlaku selepas BN tidak lagi memerintah negara.

“Jangan ada dendam, apabila gempa bumi berlaku rumah imam dan ulama juga menerima kesan...hatta pencuri roti pun menerima padah,” katanya.

Justeru, beliau menggariskan beberapa langkah yang perlu dilakukan mereka yang diberhentikan kerja.

“Fahamkan keluarga terdekat dan beritahu mereka tempoh sehingga hujung tahun adalah sangat mencabar,” katanya.

Malah, Budiman mengakui beliau sendiri terpaksa menghentikan langganan perkhidmatan stesen televisyen berbayar dan menukarkannya kepada saluran televisyen internet.

“Belanja elektrik juga boleh dikurangkan terutama penggunaan penyaman udara. Hanya kita yang tahu poket kita,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar rakyat terus berusaha berniaga menjana ‘cash cow’ kewangan besar, asalkan tidak malu dan mudah merajuk, apatah lagi  negara ini adalah bumi terbaik.

“Namun, jangan sesekali mencebur diri dalam bidang yang bukan kemahiran.

“Jangan menyendiri, keluar mencari teman dan taulan secara bersemuka terutama dengan rakan-rakan senasib melalui penambahan idea dan atur tindakan, “ katanya.

Beliau turut menasihati mereka supaya mengurangkan media sosial selain mengadu kepada ALLAH dan memahami maksud surah Al-Fatihah.

Kelmarin, Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Jasa, Majlis Profesor Negara, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya.

Mahathir dilaporkan berkata, tiga badan dan agensi kerajaan itu dibubarkan kerana wujud unsur politik, manakala SPAD akan diambil alih oleh Kementerian Pengangkutan.