SUNGAI KAPAR INDAH (SKI) - Sungguh menyayat hati bagi seorang remaja apabila dia meninggal dunia dalam keadaan ngeri dengan kepalanya betul-betul berada di tayar treler dalam satu kemalangan berdekatan lampu isyarat Batu 6, Jalan kapar, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Muhamad Suhaimy Yaacob ,18, yang menunggang motosikal dikatakan cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang berada di lorong kanan bagaimanapun tindakannya gagal menyebabkan kenderaannya bergesel dengan treler.

Akibat dari itu, mangsa tercampak dan sebahagian badannya turut terperosok di bawah kenderaan terbabit.

Bagaimanapun tindakan pantas pemandu treler berkenaan yang membrek secara mengejut beberapa saat sebaik menyedari mangsa tercampak ke bawah kenderaannya berjaya mengelak daripada terus menggilis bahagian kepala remaja itu.

Mangsa dari Bukit Rotan, Kuala Selangor meninggal ­dunis akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Rantau Panjang sebagai pemandu forklift.

Menurutnya, mangsa dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan laju menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya hingga bergesel dengan sebuah kereta ketika lampu isyarat bertukar hijau.

“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter ke laluan bersebelahan hingga kepalanya nyaris digilis treler panjang yang baru sahaja bergerak dalam keadaan perlahan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia ketika kepalanya nyaris digilis treler bermuatan besi yang dalam perjalanan ke sebuah kilang di Batu 5,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi bedah siasat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :