SUNGAI CHOH - Lima beranak hilang sumber pendapatan apabila suami terpaksa berhenti kerja akibat strok manakala isteri mengambil cuti tanpa gaji bagi menguruskan tiga anak masih bersekolah.

Bekas pemandu bas kilang, S Robert, 49, diserang strok di rumahnya di Kampung Koskan ketika mahu pergi ke tempat kerja pada 14 Jun lalu yang menyebabkan hilang upaya untuk bergerak.

Isterinya, S Santhi Mary, 45, berkata, dia yang bekerja di makmal sebuah kilang simen di Sungai Choh terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk memberi perhatian penuh kepada suami dan anak.

Menurutnya, dua anak bersekolah di tingkatan enam dan empat serta anak bongsu bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

"Pagi itu suami mahu pergi kerja, dia mengadu sakit kepala dan baring sekejap di katil sebelum rasa hendak muntah tapi tidak boleh bangun semula.

"Sekarang rawatan lanjut dibuat di Hospital Selayang termasuk psioterapi dan doktor juga beritahu tidak dapat menjangka bila suami akan sembuh semula kerana lumpuh hampir satu badan.

"Kadang-kadang bahagian kaki dan tangan ada respon boleh bergerak tapi memang tak boleh berjalan lagi, jadi tiada pilihan lain suami terpaksa berhenti kerja,"katanya.

Santhi berkata, dia kini mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan dan pihak majikan membenarkan tempoh itu dilanjutkan bergantung tahap kesihatan suaminya.

Menurutnya, keadaan suami dalam kedudukan terbaring memberi kekangan untuk dibawa ke Hospital Selayang dengan menggunakan kereta.

"Dia tidak boleh duduk, jadi kena pakai ambulans dan saya kena keluarkan RM200 untuk perkhidmatan ambulans swasta kerana bukan boleh guna ambulans hospital untuk setiap kali temu janji.

"Saya akan memohon bantuan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap diluluskan bagi meringankan beban kami sekeluarga.

"Saya sendiri juga tidak tahu bila boleh bekerja semula kerana tiada siapa yang menjaga suami di rumah dan tiga anak,"katanya.