KUALA LUMPUR - Sebuah kedai perkakasan musnah dalam kejadian kebakaran berlaku di Jalan Puchong Batu 6 1/2, menghala Jalan Klang Lama, petang tadi.

Kejadian berlaku jam 2.38 petang melibatkan kedai berkeluasan 60 x 40 kaki persegi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Jalailudin Abdul Mubin, berkata, ketika kejadian, kedai berkenaan tidak beroperasi dan kebakaran disedari penjaga kedai berkenaan.

Menurutnya, seramai 37 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Hang Tuah, Seputeh dan Puchong bergegas  lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

"Tiba di lokasi kami mendapati kedai perkakasan berkenaan terbakar dan menjejas 40 peratus dari seluruh kedai.

"Kedai berkenaan banyak menjual barang Polivinil Klorida (PVC). Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Operasi tamat sepenuhnya jam 4.18 petang dan tidak melibatkan mangsa.