KUALA LANGAT - Kampung Jenjarum diangkat sebagai antara kampung luar biasa pada Program Jelajah Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) bagi daerah itu berikutan pencapaian dalam beberapa bidang termasuk industri makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dengan adanya program turun padang seperti ini, beliau dapat melihat sendiri perkembangan pelbagai industri makanan termasuk industri cendawan serta makanan ringan Akuku dipasarkan secara meluas sehingga berjaya menaikkan imej kampung berkenaan.

Menurutnya, program 3K yang menjadi penghubung kerajaan negeri dengan penduduk setempat itu diharapkan akan terus mendapat sambutan dalam membantu mempromosikan produk kampung ke peringkat tertinggi.

"Mungkin pelanggan luar sudah tahu akan kewujudan produk makanan terbesar itu yang kini berada di Kampung Jenjarum, tapi saya percaya rakyat di Kuala Langat termasuk sebahagian penduduk Jenjarum sendiri masih belum mengetahui sejauh mana pasaran pengusaha yang terlibat.

"Jadi sudah tiba masanya, kita bantu mereka mempromosikan produk kampung, selain membantu menarik minat pelanggan singgah melihat produk kampung yang kita ada," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Jelajah Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) bagi Daerah Kuala Langat,kelmarin.  

Kanak-kanak antara yang berpeluang menyaksikan aktiviti penyembelihan ternakan.

Ahmad Yunus berkata, Kuala Langat adalah daerah kedua siri jelajah 3K pada tahun ini selepas Sabak Bernam dan hasilnya dapat dilihat melalui gerak kerja berintegriti yang digarap sepanjang tahun keempat siri jelajah 3K dijalankan.

Katanya, kejayaan yang cemerlang itu turut membuktikan 3K adalah pemangkin ke arah mengimarahkan institusi masjid dengan pelbagai aktiviti peningkatan keilmuan Islam, pemantapan jati diri muslim, kerjasama dan permuafakatan anggota masyarakat setempat.

"Bagi saya apabila masjid dapat dijenamakan semula sebagai pusat transformasi dan bukan sekadar tempat pelaksanaan ibadah, institusi itu kini dilihat lebih pro-aktif dalam menarik belia hari ini.

"Ia sekaligus menjadikan program 3K berjaya mendapat tempat dalam masyarakat. Semoga selepas ini, pejabat daerah dan pejabat agama Islam dapat terus memperkasakan agenda pelaksanaan program yang positif di kawasan luar bandar dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Pada program sama, Ahmad Yunus turut menyerahkan sebanyak 368 komputer riba dan pencetak kepada semua ketua kampung di negeri Selangor dan penyerahan peralatan Ikatan Desa kepada JKKK Kampung Tradisi di Negeri Selangor.