KUALA LUMPUR – Kelab Aku Budak Chow Kit yang didakwa mempunyai lebih 2,000 ahli dan pengundi Parlimen Titiwangsa menyatakan pendirian tidak menyokong Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari.

Pengerusinya, Ahmad Ayob Ramli mendakwa, tidak mendapat perhatian wakil rakyat itu setiap kali penganjuran sebarang aktiviti kelab sedangkan dalam masa sama, Johari atau mesra dengan panggilan Datuk Jo dikatakan boleh menghadiri majlis lain.

Menurutnya, kelab berkenaan sudah aktif melaksanakan pelbagai program sejak hujung 2015 dan berdaftar secara rasmi setahun lalu.

“Kami akui ada program yang mendapat sumbangan daripada beliau namun bukan dana yang kami fokuskan tetapi fokus tentang ikatan pemimpin dengan pengundi di Titiwangsa.

“Mengapa ada program dianjurkan oleh warga asing di tempat yang sama dia (Johari) boleh datang tetapi bila program kami pelbagai alasan diberikan.

“Kami tidak mahu membuat sebarang tuntutan tapi hanya mahu nyatakan pendirian tidak mahu Johari diletakkan sebagai calon di Titiwangsa. Jangan harap undi kami jika beliau terus dicalonkan,”

katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Ayob berkata, pendirian tidak menyokong Datuk Jo tiada kaitan dengan dakwaan berlaku sabotaj dalaman Umno Titiwangsa yang kini sedang hangat dikatakan.