SABAK BERNAM - Jenazah Noor Atifah Abi Suffian, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang melecur 95 peratus akibat disambar api selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23 Sungai Nibong, kira-kira jam 3.50 petang tadi.

Jenazah sebelum itu, dibawa dari Hospital Sungai Buloh pulang ke rumahnya di Kampung Parit 12, Sungai Nibong.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan Imam Masjid Al Mukmin, Sungai Nibong, Syamsul Baharuddin sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan.

Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara dan jiran terdekat hadir pada pengebumian Allahyarham.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan Imam Masjid Al Mukmin, Sungai Nibong, Syamsul Baharuddin sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan.

Sinar Harian 23 Februari lalu melaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disambar api dalam kejadian di Parit 12, Sungai Nibong, di sini.

Kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu itu, mengakibatkan, Noor Atifah, melecur 95 peratus, manakala ibunya, Noor Atikah Ishak, 25, dan adik bongsu Noor Atikah, Shahrul Nizam Ishak, 20, masing-masing cedera dan melecur di kedua-dua tangan dan kaki.

[ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Atifah pergi jua....]

Kejadian berlaku ketika ibu Noor Atifah, Noor Atikah, cuba menyalakan api menggunakan minyak petrol untuk membakar ikan.

Bagaimanapun, api tiba-tiba marak lalu menyambar Noor Atifah selepas ibunya tidak menyedari kehadiran anak sulungnya yang berada di belakangnya ketika kejadian.

Noor Atifah dibawa ke Klinik Kesihatan Simpang Lima dan kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Manakala, ibu dan bapa saudaranya yang cuba menyelamatkan Noor Atifah dengan terjun ke parit di belalang rumah dirawat di HTAJ Sabak Bernam.