JERAM – Bukan satu tapi dua kerosakan teruk akibat mendapan di laluan utama Kampung Bukit Hijau, di sini sehingga menimbulkan bahaya kepada penduduk terutamanya pada waktu malam.

Jika sebelum ini hanya satu laluan ditutup berhampiran simpang Jalan Masjid namun kini, tidak sampai jarak 500 meter, satu lagi laluan berhampiran simpang Jalan Balairaya ditutup akibat mendapan teruk.

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati, dua laluan utama itu mengalami kerosakan teruk di bahagian kiri laluan dan hanya ditutup dengan kon keselamatan.

Penduduk khususnya pemandu kenderaan ringan terpaksa melalui kawasan bertentangan untuk masuk ke jalan di hadapan dan keadaan agak bahaya kerana gelap pada waktu malam.

Pengadu, Mariam Abd Rahman, 33, berkata, kerosakan jalan itu berlarutan meskipun sebelum ini kerja membaiki dan menurap lokasi terbabit sudah dibuat pihak berwajib.

Menurutnya, mungkin disebabkan jalan terbabit bersebelahan dengan parit besar selain kerap dilalui kenderaan berat muatan kelapa sawit dan batuan menjadi punca kerosakan kerap berlaku.

“Kalau sebelum ini, jalan rosak di hadapan simpang Jalan Masjid itu hanya ditutup dengan kon keselamatan tapi dibiarkan lama tanpa kerja pembaikan yang baharu.

“Bumper kereta pernah pecah sebab lalu di jalan terbabit sebab mendapan teruk dan memang kalau lalu waktu malam agak membahayakan dengan lampu jalan tak ada,” katanya.

Dakwanya lagi, jalan alternatif penghubung Puncak Alam ke Kampung Bukit Hijau juga perlu diberikan perhatian kerana berlubang teruk sehingga menyusahkan pengguna.

“Jalan itu pun pernah dibaiki sebelum ini tapi rosak lagi sebab dilalui kenderaan berat meskipun ada jalan untuk lori atau kenderaan lalu. Mungkin sebab tak berturap mungkin pemandu memilih untuk lalu di tepi parit.

“Sepatutnya pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya kerana laluan ini penting untuk budak sekolah, penjawat awam dan pekerja kilang untuk ke Puncak Alam mahupun ke Kuala Selangor,” katanya.

Seorang lagi pengadu, Abdul Halim Muharaam, 54, berkata, jalan kampung terbabit seolah-olah tidak diberikan perhatian selepas pilihanraya mungkin disebabkan tiada ketua kampung lagi.

“Jalan masih rosak dan macam tak ada kerja pembaikan sedangkan orang lalu lalang jalan ni. Nak mengadu kepada ketua kampung pun mereka belum dilantik lagi.

“Katanya pelantikan ditangguh sampai Oktober sebab ada masalah calon luarlah, orang kampung tak sukalah dan macam-macam lagi sampaikan isu kampung pun tak selesai.

“Sepatutnya kerajaan baharu ini kena cepat bertindak dan selesaikan masalah orang kampung. Kuasa dah diberi, kenalah buat kerja. Sampai bila jalan kampung ni rosak saja,” katanya.