PELABUHAN KLANG – Kira-kira 100 penduduk di Taman Kota Pendamar, di sini berhimpun dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW bersempena sambutan Maulidur Rasul 2018/1440H, hari ini.

Setiausaha Surau Al-Ehsan, Abdul Rahim Kadir berkata, penduduk membawa sepanduk sambil berjalan kaki sejauh 2km mengelilingi taman berkenaan.

Menurutnya, bukan sahaja berselawat, penduduk turut didedahkan dengan nilai-nilai kebaikan khusus untuk meningkatkan keimanan terhadap ALLAH SWT dan RasulNya.

“Program ini bukanlah semata-mata berarak dengan sepanduk mengelilingi taman, sebaliknya yang lebih utama adalah menyuburkan ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Ini juga salah satu usaha kita menarik kariah taman untuk sama-sama hadir ke program ini, sekali gus mengimarahkan surau ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, sambutan ini juga membantu mengeratkan lagi ukhuwah serta perpaduan dalam kalangan kariah taman.

“Setiap tahun sejak surau ini dibina (2005), kita tak pernah terlepas menganjurkan sambutan Maulidur Rasul ini. Ini salah satu program wajib yang dianjurkan Surau Al-Ehsan.

“Alhamdulillah, sambutan diterima setiap tahun amat menggalakkan. Golongan ibu, remaja termasuk kanak-kanak juga turun padang menyertai program ini.

“Kali ini, seawal jam 7 pagi kita dah mula berhimpun dan berarak sejauh 2km mengelilingi taman,” katanya.

Program itu turut diselitkan dengan persembahan qasidah, ceramah agama oleh penceramah bebas, ustaz Dr. Riduan Mohd Noor dan bekas mubaligh Kristian, Ahmad Deneis Abdullah yang juga penceramah bebas.