ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari, 38, sekali lagi dilantik sebagai Exco Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor selepas melihat komitmen dan kecemerlangan menggalas jawatan berkenaan sebelum ini. Beliau juga disebut-sebut antara nama yang bakal menyandang kerusi Menteri Besar Selangor selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini memikul tanggungjawab sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Persekutuan. Ikuti wawancara wartawan bersama Amirudin menerusi program FB Live Sinar Harian.

Apakah misi dan visi YB sebagai Adun di Sungai Tua untuk penggal yang baharu ini?

Ada beberapa isu dan perkara yang menjadi tumpuan saya untuk penggal kali ini. Pada penggal lalu saya menumpukan kepada aspek komunikasi dan hubungan komuniti serta program-program komuniti yang rancak. Alhamdulillah dalam tempoh 10 tahun, kita sudah merancakkan pelbagai aktiviti baik untuk anak muda, sukan, kebudayaan mahupun program keagamaan. Untuk penggal akan datang pula, beberapa aspek ingin dipertingkatkan khususnya keterhubungan dalam kalangan masyarakat dengan adanya bas Selangorku ‘Bus Smart Selangor’ yang menghubungkan kawasan-kawasan di Batu Caves dan Sungai Tua namun begitu ada beberapa kawasan yang tertinggal.

Dalam penggal ini saya cuba pastikan perkhidmatan bas ini akan dapat diberikan kepada penduduk supaya hubungan di antara masyarakat dan pejabat kerajaan serta stesen-stesen utama pengangkutan seperti LRT dan KTM dapat dihubungkan dengan lebih cepat dan pantas selepas ini.

Apakah yang YB mahu perbaiki untuk portfolio yang dipegang sekarang?

Alhamdulillah saya masih diberi tanggungjawab memegang jawatankuasa yang telah saya pegang sebelum ini iaitu sukan, pembangunan usahawan dan pembangunan/pemberdayaan generasi muda. Bagi ketiga-tiga aspek ini beberapa nilai tambah akan ditekankan antaranya sukan. Selain mewujudkan Majlis Sukan Daerah dan Pusat Latihan Daerah bermula tiga tahun lepas daripada hanya empat atau lima Pusat Latihan Daerah kini ia sudah berkembang menjadi 95 kesemuanya.

Bagi sukan pula, kita mahu memantapkan hasilan-hasilan daripada kelahiran atlet-atlet akar umbi supaya kita boleh ketengahkan mereka ke peringkat lebih tinggi dan digilap untuk menjadi jaguh di peringkat negeri mahupun nasional. Melalui sukan juga pada tahun ini dan beberapa tahun akan datang, kita akan cuba melengkapkan misi dan model pembangunan bola sepak terutamanya bila kita sudah bekerjasama rapat dengan Putrajaya.

Sekarang ini kita boleh hubungkan Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia (NFDP) dan Akademi Merah Kuning yang telah dilaksanakan lebih setahun setengah lalu. Pembangunan bola sepak di Selangor dan kewujudan beberapa isu dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan kita dapat mempunyai satu misi yang baik dalam sukan bola sepak.

Melihat kepada perkembangan politik di Selangor berhubung isu jawatan menteri besar. Pada pandangan YB, apakah penanda aras yang diletakkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap penggantinya di negeri ini?

Penanda aras yang diletakkan beliau adalah sangat tinggi dan saya percaya pengganti beliau selepas ini perlu menunjukkan beberapa komitmen iaitu seorang menteri besar yang bekerja keras, cergas dan mampu untuk memastikan Selangor sebuah negeri yang sentiasa stabil kerana Selangor adalah gedung ekonomi yang penting kepada negara ini. Insya-ALLAH... kalau pelan yang dirancang oleh kepimpinan sebelum ini kita boleh menjadi pemain serantau yang aktif.

Jadi aspek-aspek keseimbangan di antara pembangunan ekonomi, sosial, kerohanian, pemberdayaan generasi muda dan wanita harus dibangunkan secara seimbang supaya tiada wujudnya ketempangan daripada aspek pembangunan kita. Sebagaimana yang kita laksanakan pada tahun 2008, kita cuba seimbangkan di antara pembangunan yang mampan dan maju dalam masa yang sama rakyat dapat menikmati kemajuan berkenaan.

Bagaimana aspek kemajuan itu dapat dikongsi bersama, aspirasi kerajaan itu menjadi budaya dalam masyarakat. Sebagai contoh, kalau kita merakyatkan ekonomi dan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan program-program kebajikan yang begitu luas di Selangor, selepas ini bagaimana budaya itu menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat korporat dan individu yang berupaya membentuk satu negeri yang benar-benar mantap dan berketerampilan.

Kita maju tetapi dalam masa yang sama, rakyatnya sangat berbesar hati dan sangat gembira dengan menikmati kemajuan hidup bersama-sama dan tiada yang tertinggal terlalu jauh dengan kemajuan yang dicapai negeri kita.

Bagaimana pula dengan perkara-perkara yang boleh diperbaiki dalam pentadbiran kerajaan Selangor?

Selangor kita mempunyai jurang dengan beberapa lokaliti dan kawasan khususnya daripada beberapa aspek seperti kemajuan fizikal, pembangunan ekonomi dan keterhubungan serta sambungan terutamanya di bahagian Utara Selangor dan Selatan serta tengah seperti Daerah Petaling (Shah Alam, Subang Jaya) sampai ke Ampang Jaya.

Ini adalah kawasan yang pesat membangun dengan program-program pembangunan dan sebagainya. Namun begitu, terdapat beberapa kawasan di Utara negeri ini seperti Sabak Bernam, Sungai Besar dan Hulu Selangor masih maju membangun namun jika diukur dengan kewujudan seperti litar wifi, sambungan internet dan sebagainya ia masih agak ketinggalan.

Misi kerajaan negeri adalah bagaimana mahu menghubungkan daerah-daerah ini dan juga kawasan yang dianggap masih lagi agak sedikit tertinggal daripada arus kemajuan supaya dapat seimbang dengan kemajuan dan kenikmatan pembangunan yang diperoleh di negeri ini khususnya di kawasan sedang membangun.

Nama YB bersama dua nama lagi disebut-sebut bakal Menteri Besar Selangor, bagaimana maklum balas YB sendiri?

Belum ada perbincangan secara khusus namun mengikut tradisi sebagaimana yang berlaku di Pulau Pinang, kerusi ini akan diserahkan kepada PKR. Prosesnya juga sangat lancar sepertimana pertukaran kerusi Ketua Menteri daripada Lim Guan Eng kepada Chow Kon Yeow.

Isunya adalah adakah kita membincangkannya secara serius? Saya percaya ia dibincangkan dalam banyak peringkat sama ada di peringkat parti dan rakyat, cuma keputusannya harus diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti. Apa yang penting ia mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Melalui majoriti yang sangat besar dan dengan kestabilan yang kita perolehi, saya percaya kepimpinan akan membuat keputusan dengan segera dan keputusan itu boleh diterima semua pihak. Kita tidak mahu ia mengancam mandat yang diberikan oleh rakyat. Apa yang penting adalah tanggungjawab.