PUCHONG - Kelab Kebajikan Anak Borneo Selangor yang kini mempunyai kira-kira 300 ahli berperanan menjaga kebajikan dan mempertahankan kebudayaan etnik Borneo di negara ini.

Pengerusinya, Dirman Bustan berkata, kelab ditubuh sejak 16 September tahun lalu berjaya menyatukan anak Sabah dan Sarawak berada di semenanjung terutama di Selangor dan KL.

Beliau berharap kelab berkenaan dapat mencapai matlamat menjana ekonomi anak Sabah dan Sarawak di semenanjung dan menjaga kebajikan mereka yang merantau ke negeri ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

“Ada lima biro dalam kelab ini iaitu Biro Katering, Biro Belia dan Sukan, Biro Kebudayaan, Biro Agama dan Biro Wanita. Kita sasar tambah keahlian dan perbanyakkan aktiviti pada masa depan.

“Sejak ditubuhkan, sudah lebih 120 aktiviti kebajikan dan program dilaksanakan jawatankuasa kelab disertai ahli,” katanya.

Katanya, antara aktiviti kebajikan yang pernah dilaksanakan pihaknya termasuk membantu seorang lelaki yang merempat di tempat parkir setelah kehilangan tempat tinggal.

Lelaki berusia 26 tahun itu katanya datang ke semenanjung untuk mencari kerja namun akhirnya hidup gelandangan.

“Kami bantu dia dapatkan pekerjaan dan keadaannya sudah baik sekarang, malah kita pernah bantu hantar seorang lelaki tidak berupaya pulang ke kampung halamannya sebelum ini,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.