BERGELUMANG dan mengalami ketagihan najis dadah suatu ketika dahulu menjadikan Rahmat (bukan nama sebenar), 29, hanyut dalam dunia khayalan.

Seawal usia 19 tahun, dia mula berjinak-jinak sebagai tokan dadah dan pernah memperoleh wang tunai sehingga mencecah RM30,000.

Ketika itu, dia tidak pernah serik dengan kegiatan mengedar dan menagih dadah jenis syabu.

Menceritakan detik hitam hidupnya itu, Rahmat berkata, dia pernah merasai zaman 'gelap' ibarat hidup tanpa arah tujuan angkara dadah.

"Saya mula terjebak dengan gejala penagihan sejak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lagi. Masa tu, saya berjinak-jinak ambil ganja.

"Waktu tu, saya dalam dunia khayalan dan mula rasa ketagih bila tak dapat barang (ganja).

"Ganja ni, bila kita ambil kepala akan rasa pening, perut lapar dan suka senyum bersendirian," katanya.

Menurutnya, kegiatan penagihannya bertambah serius ketika dia menyambung pelajaran ke sebuah kolej awam.

"Nak kata pengaruh kawan tak juga, sebenarnya diri sendiri memang nak cuba sama macam penagih lain.

"Dari situ, saya mula dapatkan bekalan dan seterusnya menjadi tokan dadah kecil-kecilan," katanya.

Rahmat memberitahu, akibat pengaruh dadah, dia tidak dapat menghabiskan pengajian peringkat diploma dalam jurusan automatif.

"Saya tak dapat nak habiskan pengajian diploma sebab tak boleh fokus dalam pelajaran.

"Pada semester akhir, saya tekad berhenti belajar dan dari situ, bermulalah detik hitam dalam kehidupan," katanya.

Dia berkata, nafsu terhadap dadah makin meningkat dan mula menjalankan perniagaan menjual dadah kepada penagih.

"Saya akui, waktu itu saya jauh daripada tuhan dan sempat menyewa enam rumah untuk jalankan aktiviti membungkus dadah bersama rakan lain," katanya.

Ujar Rahmat, sepanjang tempoh itu, dia pernah ditahan sebanyak tiga kali atas kesalahan menagih dadah.

"Saya seolah-olah tak pernah insaf tentang apa yang berlaku sehinggalah ahli keluarga minta saya jalani rawatan pemulihan di pusat kebajikan dan rawatan Darul Islah.

"Semasa mula masuk ke sini, jiwa saya memberontak akibat ketagihan dadah. Badan terasa terlalu sakit dan lembik.

"Namun, setelah empat bulan, saya sendiri merelakan diri untuk tinggal di sini supaya tidak terjebak lagi dengan aktiviti itu," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, dia hanya pulang ke rumah sekali selepas bapanya terlibat dalam kemalangan.

"Alhamdulillah, tiga tahun saya di sini, sempat jugalah saya mengerjakan ibadah umrah.

"Kehidupan saya lebih berdisiplin dan terdidik di Darul Islah daripada seorang yang tidak hafaz surah lazim, kini semakin lancar.

"Di sini, banyak mengajar saya erti nikmat dekat dengan Tuhan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia memang jauh daripada Tuhan dan jarang solat, namun berubah dengan mematuhi syariat agama.

"Sekarang ini, saya dah boleh hafaz surah-surah lazim dan mampu menjadi imam terutama jika keluar dari pondok itu," katanya.

Anak keempat daripada enam beradik yang masih bujang itu memberitahu, dia berazam untuk pulih sepenuhnya daripada gejala ketagihan dadah sepanjang menjalani rawatan di pusat itu.

"Bila masuk sini, saya tekad untuk berubah menjadi lebih baik," katanya yang bercadang ingin mengusahakan perniagaan penyembelih ayam setelah selesai menjalani rawatan di pusat rawatan itu.

Sementara itu, Pengurus Darul Islah, Azilla Ikhsan, 51, berkata, pusat rawatan dan pemulihan itu diasaskan bapa mertuanya, Allahyarham Ahmad Shuhod Ikhsan secara tidak formal pada 1980-an.

Katanya, Allahyarham mengambil inisiatif mendaftar pusat itu sebagai pusat rawatan dan pemulihan secara Islam di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Selepas kematian pengasasnya, usaha itu kemudiannya diteruskan Allahyarham suami saya, Hasan Shazili Ahmad Shuhod sehingga 2014.

"Sehingga kini, seramai 1, 000 bekas penagih menjalani rawatan pemulihan sejak 1997 hingga sekarang," katanya.

Beliau berkata, pada masa kini, seramai 24 bekas penagih menjalani rawatan di pusat terbabit yang memiliki tanah seluas 2.5 hektar.

"Kita ada 12 unit pondok menempatkan seramai tiga orang setiap pondok. Buat masa sekarang terdapat 30 kekosongan di pusat ini," katanya

Katanya, pelbagai aktiviti berbentuk kerohanian dan riadah disediakan kepada penghuni pusat itu.

"Selain rutin solat fardu dan kuliah agama, kita juga menjalankan program kemahiran di rumah kebajikan ini.

"Antara aktiviti harian seperti menternak kambing, ayam dan kuda, selain menanam cili, sayuran terung, bendi, kacang, serai dan ulam-ulaman," katanya.