$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Hadiah lumayan berupa iPhone 4s menanti pemenang pertandingan 1Malaysia Kuala Lumpur Heritage Xplorace 2012 anjuran Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Warisan Negara, 25 Februari depan.
Turut menanti peserta, dua ipad2 serta hadiah lain bernilai RM25,000 termasuk hamper dan wang tunai serta sijil penyertaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd berkata, pihaknya menyasarkan 250 kumpulan iaitu 500 peserta bagi menyertai pertandingan kali kedua dianjurkan itu.
Menurutnya, penyertaan warga asing juga dibuka sebagai mempromosikan lagi Kuala Lumpur.
“Objektif utama acara ini diadakan bagi memperkenalkan lokasi warisan yang terdapat di ibu kota di samping memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia terutama generasi muda agar menanam rasa cinta kepada negara.
“Acara yang penuh mencabar, berinformasi dan menguji minda ini membawa peserta menjelajah ke seluruh kawasan Segitiga Emas dan persekitaran Kuala Lumpur sejauh 15 kilometer dengan menerokai 12 check point untuk mencari jawapan bagi soalan berkaitan warisan dan sejarah,” katanya.
Yuran pendaftaran setiap kumpulan adalah RM50 bagi warganegara Malaysia, RM100 (warga asing).
Tarikh tutup penyertaan 23 Februari ini, mereka yang berminat boleh melayari www.menarakl.com.my untuk maklumat lanjut.





