SHAH ALAM – Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dilalui seorang ibu tunggal apabila terpaksa menyara empat anaknya bersendirian sejak tahun lalu.

Esah Jusoh, 42, menanggung empat anak, Nur Syazana Mohd Razif, 19; Nur Syazwani Mohd Razif,17; Nur Syahirah Mohd Razi, 15, dan Muhammad Afiq Afnan Mohd Razif, 14..

Menurutnya, arwah suaminya, Mohd Razif Md Yasin meninggal dunia pada 13 November tahun lalu akibat serangan jantung.

“Tiga anak saya bersekolah dan yang sulung sedang menuntut di UiTM (Universiti Teknologi Mara). Saya pula tak kerja sebab sakit buah pinggang,” katanya yang tinggal di sebuah rumah flat di Seksyen 19, di sini.

Katanya, dia hanya bergantung harap pada bantuan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bagi membiayai anak-anak dan urusan dialisis.

“Tiga kali seminggu saya terpaksa ke pusat dialisis untuk rawatan. Kadang-kadang saya guna perkhidmatan Uber yang mengenakan caj RM10 untuk pergi sahaja dan balik pula kena bayar RM10 lagi.

“Saya jarang guna teksi sebab kos perjalanan ke Seksyen 13 adalah RM13 sehala. Saya kena berjimat dan menggunakan perkhidmatan yang lebih murah.

“Kalau sepupu ada, saya tumpang dia untuk ke pusat dialisis,” katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) ke rumahnya bagi menyampaikan sumbangan sempena program Sinar Kasih Ramadan 2017.

Hadir sama, Pegawai Tugas-tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang.

Menceritakan semula bagaimana dia terpaksa menjalani dialisis, Esah berkata, sakitnya dapat dikesan sekitar 2015.

“Masa tu, saya asyik demam dan kerap hilang selera makan. Saya ada jumpa doktor dan disahkan menghidap sakit buah pinggang.

"Saya kemudian rujuk doktor pakar dan mereka syorkan supaya menjalani rawatan dialisis,” katanya.

Selain itu, katanya, dia juga pernah membuat tuntutan Perkeso tahun lalu tetapi tidak berjaya.

"Arwah suami bekerja sendiri tapi pernah makan gaji selama dua tahun. Tapi saya dimaklumkan untuk buat tuntutan Perkeso, seseorang individu itu perlu bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun," katanya.

Esah dalam pada itu mengucapkan syukur tidak terhingga kepada ALLAH dan pihak yang memberikan pertolongan.

Katanya, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sekeluarga terutama ketika menjelang Aidilfitri.

“Cuma, persiapan kali ini ala kadar dan kami kena berjimat cermat,” katanya yang akan beraya bersama anak-anak di Shah Alam kerana mahu menziarahi pusara arwah suami.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Tiga beradik yang menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mereka dibunuh November tahun lalu sehingga kini mendakwa belum menerima sebarang bantuan.
  • BACHOK - Sambutan Tahun Baharu Cina suram sejak beberapa tahun lalu apabila salah seorang ahli keluarga mereka terlantar akibat sakit tibi yang menyerang otak.
  • BACHOK - “Dahulu saya bersama suami, dua anak dan datuk tinggal dalam ‘kepok padi’ (stor tradisional menyimpan beras) yang hampir roboh, namun kini kami dapat tinggal di rumah baru yang selesa,” luah Suraya Rosli, 29.
  • MERSING - Sebanyak 156 rumah penempatan semula diserahkan kepada mangsa banjir dan setinggan dari Endau.
  • JEMPOL - Tiada ungkapan lain selain rasa syukur yang mampu dilafazkan sepasang suami isteri di Kampung Jeram Panjang di sini, apabila menerima sebuah rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).