SHAH ALAM - Persatuan Ibu Tunggal Selangor hari ini melahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan negeri itu yang didakwa telah memutar belit isu berhubung elaun RM100 seperti yang dijanjikan dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

Pengerusinya Murtini Kasman berkata kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempersoal undi golongan ibu tunggal berkenaan pada PRU lepas, adalah terpesong daripada janji manifesto yang tidak menyebut langsung mengenai perkara itu.

"Ini satu lagi putar belit, dulu janji kalau menang semua dapat bantuan tidak kira parti tetapi sekarang lain pula jadinya. Kenapa perlu persoalkan undi, bukankah undi itu rahsia.

"Saya tidak nafikan ada yang tidak undi mereka tetapi sebagai kerajaan yang memerintah, sepatutnya bantuan diberi kepada semua yang layak seperti dijanjikan tanpa mengambil kira parti yang diundi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Murtini mengadakan pertemuan ringkas dengan wakil Pejabat Pilihan Raya Selangor bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu bersama kira-kira 30 anggota persatuan berkenaan.

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata golongan ibu tunggal yang mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri itu perlu membuktikan di mahkamah bahawa mereka mengundi calon PAS, DAP atau Parti Keadilan Rakyat pada pilihan raya umum lepas untuk membolehkan mereka menerima elaun RM100 seperti yang dijanjikan.

Beliau dalam laporan media Jumaat lepas berkata bukan semua ibu tunggal layak mendapat elaun yang dijanjikan, sebaliknya mereka perlu terdiri daripada golongan yang benar-benar memerlukan.

Pada 12 Dis lepas, 3,011 ibu tunggal memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan kira-kira RM16.26 juta kerana kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang  dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum pembangkang pada 2008.

Sementara itu, Murtini berkata persatuan yang mempunyai kira-kira 20,000 anggota itu akan mengadakan sesi penerangan dan untuk mendapat sokongan berhubung isu elaun itu di seluruh kawasan Parlimen di Selangor.

Buat permulaan, ia akan menjelajah ke lima kawasan Parlimen bagi tujuan berkenaan, katanya.- Bernama