KUALA LUMPUR - Tujuh pasangan selamat diijabkabul dalam satu majlis dijalankan secara serentak di Masjid Muadz Bin Jabal Setiawangsa hari ini.

Majlis pernikahan itu bermula kira-kira jam 11 pagi dihadiri keluarga pasangan pengantin terlibat.

Pernikahan beramai-ramai itu dilaksanakan bawah Program Mahligai Bahagia anjuran Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPI) Cawangan Setiawangsa dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, berkata, ia merupakan penganjuran pertama kali dibawah tajaan pejabatnya.

Menurutnya dengan penganjuran majlis itu, ia dapat membantu meringankan beban pasangan dan keluarga terlibat.

"Majlis ini telah dirancang sejak Oktober tahun lalu di mana pasangan terlibat perlu menguruskan segala prosedur pernikahan. Semua perbelanjaan ditanggung kecuali mas kahwin.

"Saya sendiri sering menerima permohonan bantuan untuk majlis seumpama ini, jadi saya fikir lebih elok kita satukan sahaja majlisnya,"katanya ditemui pada program berkenaan.

Tambah beliau, program seumpama itu bakal dirancang sebagai program tahunan dengan menyasarkan lebih ramai penyertaan.

"Tiada syarat ditetapkan namun kita akan menilai latar belakang agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan,"katanya.

Sementara itu, salah seorang pengantin, Mohd Zulikhwan Zulkefli, 23, berkata, penganjuran majlis itu bertepatan dengan waktu kerana dia dan pasangan Norsuhadaq Halim, 25 merancang untuk berkahwin pada tahun ini.

"Gementar tapi teruja kerana bukan kami sahaja yang membina masjid hari ini. Terima kasih kepada penganjur terlibat,"katanya.