RAWANG - Senarai 238 barangan keperluan yang  diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor mendapati tidak menunjukkan perubahan ketara.

Namun dari aspek harga dan kenaikannya berada diparas lima peratus.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, kadar harga barangan didapati tidak kekal dan berubah secara mingguan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan di Pasar Rawang semalam mendapati beberapa barangan seperti ayam, kambing import, telur dan tenggiri menunjukkan penurunan harga.

“Jaminan diberikan oleh peniaga bahawa barangan keperluan ini dijangka mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

“Penurunan harga ini memberikan kelebihan kepada pengguna dari pengurangan beban perbelanjaan harian,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beberapa jenis barangan didapati berpotensi mengalami kenaikan harga menjelang musim perayaan antaranya udang, ikan selar dan kembong serta sotong.

“KPDNKK akan berjumpa dengan pembekal dalam masa terdekat untuk mengetahui punca kenaikan dan kedudukan bekalan hingga tamat musim perayaan.

“Selain itu kita akan berhubung dengan agensi kerajaan seperti Fama dan berkaitan untuk mendapatkan bantuan atau pandangan,” katanya.

Namun katanya, secara keseluruhan Selangor tidak berhadapan masalah besar dari segi penjualan dan bekalan keperluan makanan.

Semalam, seramai 24 anggota KPNKK membuat pemantauan harga di Pasar Rawang sebagai persediaan musim perayaan dan memeriksa kekurangan bekalan.

Tujuh lokasi dijadikan pusat kutipan semakan harga iaitu Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Kubu Bharu, Kajang Kuala Selangor, Gombak, Sepang untuk mengetahui perkembangan bekalan dari semasa ke semasa.